Berita Utama

Nur Jazlan terkejut ‘beruk’ Abdul Hadi kata MN masih berjalan

Cabar Presiden PAS dedah nama pemimpin UMNO terlibat rundingan

BANGI, 10 Safar 1444H, Rabu – Timbalan Ketua UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa terkejut ‘beruk’ mendengar kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pintu Muafakat Nasional (MN) masih terbuka dan berjalan ketika ini.

Abdul Hadi berkata, pendirian Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai MN tidak menjadi gambaran keseluruhan pendirian sebenar parti itu kerana masih ada suara melibatkan pimpinan serta ahli akar umbi iaitu Majlis Tertinggi, Majlis Kerja Tertinggi dan Badan-badan Perhubungan Negeri.

Nur Jazlan bagaimanapun mempersoalkan rundingan MN yang didakwa Abdul Hadi masih berjalan, walhal Presiden UMNO dan beliau tidak mendapat maklumat mengenainya.

“Bagaimana rundingan besar seumpama itu tak melibatkan orang nombor satu dalam UMNO dan lebih hairan lagi bagaimana ia dibuat di luar pengetahuan parti.

“Saya sebagai salah seorang Ketua Bahagian dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor pun tak dapat maklumat atau dimaklumkan oleh parti mengenai adanya rundingan berkaitan MN dengan PAS.

“Saya percaya majoriti pemimpin dan ahli akar umbi UMNO pun tak ada info pasal rundingan ini kerana kami semua tetap berpegang kepada keputusan PAU serta ketetapan parti untuk memutuskan kerjasama dalam PN. 

“Itu keputusan parti dan bukannya keputusan Zahid seorang seperti didakwa Hadi. Semua orang tahu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan mendakwa, beliau tahu bahawa Abdul Hadi dan PAS semakin terdesak menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan terhegeh-hegeh mahukan kerjasama dengan UMNO dalam MN, sehingga sanggup mereka cerita fitnah adanya rundingan dengan pemimpin UMNO.

“Kalau betul ada rundingan antara PAS dan UMNO tanpa pengetahuan Presiden UMNO dan kepimpinan parti bermakna rundingan itu dibuat secara pintu belakang. Kerja yang tak dapat restu daripada pucuk pimpinan dan ahli akar umbi parti. 

“Kalau Abdul Hadi masih berkeras dan mempertahankan cerita rundingan MN itu, saya cabar dia dedahkan nama dan siapakah pemimpin UMNO yang terlibat dengan rundingan itu. Kalau cerita dia betul, dia kena berikan fakta dan bukan hanya buat dakwaan saja,” katanya.

Pada masa sama, Nur Jazlan menegaskan UMNO sudah jelas menolak kerjasama MN, maka pintu MN sudah tertutup dan UMNO juga sudah memilih untuk bergerak solo pada PRU15 nanti. 

BERITA BERKAITAN:

Zahid kata MN kerjasama ‘dangkal’, Hadi dakwa bukan pandangan akar umbi

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button