Berita Utama

Pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini atas pilihan

Pemakaian masih wajib bagi situasi kes positif COVID-19

KUALA LUMPUR, 10 Safar 1444H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata bagaimanapun pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau boleh memilih untuk memakai pelitup muka.

Namun katanya, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan bagi situasi kes positif COVID-19 yang perlu ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) untuk menjalani penilaian kesihatan.

“Juga (semasa) menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah dan semasa berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis, dan yang setara dengannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Ubat Generik dan Biosimilar Antarabangsa (IGBA) – Organisasi bagi Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian situasi COVID-19 serta mengambil kira keperluan semasa.

Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos 2020.

Bagaimanapun sejak 1 Mei lepas, pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan apabila berada di dalam bangunan dan di dalam pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-hailing.

Khairy berkata orang ramai amat digalakkan memakai pelitup muka kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan.

“KKM juga amat menggalakkan supaya pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti pasar malam, stadium, pusat membeli-belah dan rumah ibadah,” katanya.

Pemakaian pelitup muka juga digalakkan bagi individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema, individu berisiko tinggi seperti warga tua, mereka yang menghidap penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung serta mereka yang melakukan aktiviti bersama orang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.

KKM akan terus memantau situasi COVID-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesejahteraan rakyat, kata beliau. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button