Berita UtamaDunia

Penduduk Palestin tuntut Israel baiki kediaman rosak kesan kerja gali arkeologi

26 keluarga terpaksa berpindah selepas rumah runtuh dan retak

BAITULMAQDIS, 10 Safar 1444H, Rabu – Penduduk Palestin di Nashashibi, Baitulmaqdis mengadakan bantahan terhadap pihak berkuasa Israel yang enggan bertanggungjawab di atas kerosakan dialami kediaman mereka.

Penduduk menuntut pihak perbandaran negara haram membaik pulih struktur kediaman mereka yang rosak, kesan kerja penggalian di tapak arkeologi.

Bantahan turut diadakan selepas pihak perbandaran memfailkan saman terhadap penduduk dan mengarahkan mereka membaiki kerosakan sendiri atau meninggalkan kediaman masing-masing.

Kira-kira 26 keluarga terpaksa berpindah ke lokasi lain kerana kerja-kerja penggalian menyebabkan rumah mereka mengalami keretakan.

“Kami menetap di sini sejak 1973 lagi namun kerja-kerja penggalian sejak tiga tahun kebelakangan ini dengan memasang konkrit besi di bawah tanah menyebabkan ada rumah penduduk yang retak dan runtuh.

“Lebih dahsyat pihak perbandaran telah mengeluarkan saman supaya penduduk membaik pulih kerosakan sendiri dan menghantar saman kepada kami supaya bertanggungjawab.

“Kami semua tidak berkemampuan untuk membaiki sendiri, lagi pun ini bukan kesalahan kami,” kata penduduk dikenali sebagai Umm Nidal Salaymeh.

Sementara itu, ketua jawatankuasa penduduk, Sameh Abu Asab berkata, 18 keluarga yang menetap di kawasan terjejas adalah warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang berpendapatan rendah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button