Berita Utama

PRU15: PH dijangka umum hasil rundingan agihan kerusi dalam sebulan dua

Termasuk tentukan parti bertanding di kerusi dimenangi Bersatu

KUALA LUMPUR, 10 Safar 1444H, Rabu – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dijangka akan mengumumkan hasil rundingan agihan kerusi yang akan ditandingi gabungan politik itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam sebulan atau dua bulan lagi.

Pengarah Komunikasi PH Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata rundingan itu termasuklah menentukan parti mana yang akan bertanding di kerusi yang dimenangi Bersatu pada PRU14.

Bersatu sebelum ini adalah sebahagian daripada PH dan pada 24 Feb 2020, parti itu mengumumkan keluar daripada gabungan itu.

“Selepas itu terpulang kepada parti masing-masing untuk mengumumkan calon,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

PH kini dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Sementara itu, Ahmad Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR berkata Majlis Presiden PH juga setakat ini belum membincangkan mengenai kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang diterajui Presiden Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq pada Isnin lepas dilapor berkata MUDA bersedia untuk bekerjasama dengan PH pada PRU15 akan datang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button