Berita Utama

Kluster mahkamah kepincangan UMNO menuju PRU15

Pemimpin berdepan perbicaraan patut 'volunteer' undur diri

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 11 Safar 1444H, Khamis – Kluster mahkamah – yang kini menguasai UMNO – berkemungkinan menjadi punca kepincangan parti politik itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Langkah terbaik, penganalisis politik, Dr Azmi Hassan menyarankan, pemimpin yang berdepan kes mahkamah perlu secara ‘volunteer’ berundur memimpin supaya tidak mengheret sekali parti yang diterajui.

Dalam kes UMNO secara spesifiknya, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sewajarnya mengambil jawatan Presiden, menggantikan Datuk Seri Zahid Hamidi yang kini berdepan pertuduhan di mahkamah.

“…bukannya Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob – walaupun beliau seorang Perdana Menteri.

“Dalam hierarki parti itu, Tok Mat yang sepatutnya mengambil alih.

“Tetapi kita perlu lihat bahawa kemungkinan, saya tidak pasti itu resolusi ataupun Perlembagaan dalam UMNO,” katanya dalam temu bual Dimensi di TV Pertiwi, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan supaya kerajaan meminda undang-undang untuk melarang individu yang berdepan perbicaraan kes mahkamah berkaitan salah laku, penyelewengan dan rasuah daripada menjadi calon pilihan raya, beliau berkata, ia tidak boleh mengikut Perlembagaan.

“Sebenarnya tidak boleh sebab Perlembagaan memang begitu nyata selagi hukuman belum disabitkan maka seseorang itu layak (bertanding) kerana diberi peluang mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam hal UMNO umpamanya, Zahid sememangnya kita tahu sedang menjalani proses perbicaraan mahkamah. Jadi ini bergantung kepada presiden itu sendiri dan akar umbi sama ada mereka mahu ‘mencutikan’ atau ‘merehatkan’ presiden mereka dan diambil alih oleh individu nombor dua.

“Itu bergantung pada ahlinya sendiri. Tetapi memang betul salah satu sebab perbicaraan presiden ini dikatakan kepincangan dalam UMNO itu ada,” katanya.

Pautan Dimensi;
https://www.facebook.com/tvpertiwi/videos/521636303295486/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button