Berita Utama

Muhyiddin dakwa Bersatu beri sumbangan besar lawan kleptoraksi

Wujudkan pemerintahan berintegriti, bebas rasuah

BANGI, 11 Safar 1444H, Khamis – Parti Bersatu berjaya memberi sumbangan yang besar dalam pentadbiran negara termasuk melawan kleptoraksi walaupun baharu menginjak usia enam tahun.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah berjuang melawan kleptokrasi selain mewujudkan pemerintahan yang berintegriti dan bebas rasuah.

“Walaupun baharu menginjak usia enam tahun, Bersatu telah memberikan sumbangan yang besar dalam pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat.

“Keadaan ini jelas menunjukkan parti ini berada di landasan perjuangan yang selari dengan matlamat penubuhan parti,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Ulang Tahun Penubuhan Bersatu ke-6, hari ini.

Muhyiddin menegaskan kekuatan parti tersebut semestinya terletak di tangan ahli-ahlinya.

“Sekiranya ahli-ahli parti terus istiqamah dalam menghayati semangat perjuangan parti untuk terus melangkah gagah, ini termasuk mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang bebas rasuah.

“…melaksanakan tadbir urus yang berintegriti, menegakkan sistem demokrasi berparlimen, memperjuangkan keadilan sosial, menghormati doktrin pengasingan kuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan berkenaan termasuk kebebasan badan kehakiman, menegakkan Islam sebagai Agama Persekutuan, menghormati hak semua individu untuk mengamalkan agama masing-masing, mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan penduduk Sabah dan Sarawak.

Malah, ia termasuk memelihara hak-hak asasi rakyat, memupuk perpaduan dan keharmonian rakyat, mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara dan mendokong Perlembagaan Persekutuan.

Tegas beliau, prinsip perjuangan itu mestilah diamalkan oleh setiap ahli selain sentiasa bersatu padu dan menjadi contoh teladan yang baik dalam membentuk budaya politik yang murni selain terus dihormati.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button