Penuntut Melayu tak perlu serba salah ramai dapat biasiswa
Tanpa biasiswa pun penuntut bukan Melayu lebih ramai di universiti

BANGI, 11 Safar 1444H, Khamis – Jarak antara orang Melayu yang berpelajaran dan bukan Melayu dapat ditangani dengan memberi lebih banyak biasiswa kepada penuntut Melayu.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, terdapat ramai penuntut Melayu yang merasa serba salah apabila ditanya oleh bukan Melayu mengenai ketidakadilan Dasar Ekonomi Baru (DEB) terhadap bukan Melayu.
Katanya, dalam agihan biasiswa umpamanya, dasar ini menghasilkan agihan biasiswa yang lebih kepada orang Melayu.
“Benarkah DEB tidak adil kepada bukan Melayu. Untuk menentukan DEB adil atau tidak, kita perlu rujuk kepada sejarah singkat negara.
“Hakikatnya ialah tanpa biasiswa pun penuntut bukan Melayu lebih ramai dalam universiti swasta tempatan dan universiti di luar negeri. Ini disebabkan ramai bukan Melayu mampu hantar anak mereka ke universiti.
“Hanya dalam universiti tempatan milik kerajaan sahaja yang penuntut Melayu melebihi penuntut bukan Melayu. Hampir semua dari mereka dapat ke universiti kerana diberi biasiswa. Jika tidak jumlah mereka akan amat berkurangan,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau, hari ini.
Mengulas lanjut, Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, kebanyakan dari ibu bapa penuntut Melayu kerja bergaji.
Menurutnya, pendapatan mereka tidak cukup untuk bayar yuran universiti yang sekarang amat tinggi.
“Ada sebilangan yang sedikit sahaja Melayu yang mendapat gaji yang cukup untuk hantar satu atau dua anak ke universiti.
“Jika hari ini terdapat ramai juga ahli profesional Melayu, sebabnya ialah kerana mereka mendapat biasiswa atau pinjaman. Dasar Ekonomi Baru hanya berjaya dalam bidang pelajaran.
“Dalam bidang ekonomi pencapaian orang Melayu tidak seperti dirancang. Hakikat ini perlu diterima oleh semua pihak,” katanya.
Oleh itu katanya, penuntut Melayu tidak perlu serba salah kerana ramai penuntut Melayu yang mendapat biasiswa.