Dunia

COVID-19 masih bahaya walau kes turun mendadak: WHO

Jumlah kematian mingguan menjunam lebih 80 peratus sejak Februari

GENEVA, 11 Safar 1444H, Khamis – Meskipun jumlah kes jangkitan COVID-19 menurun di kebanyakan negara seluruh dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa pandemik itu  belum berakhir.

Berdasarkan semakan mingguan terkini seluruh dunia, bilangan kes baharu COVID-19 turun sebanyak kira-kira 12 peratus.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus berkata, hanya terdapat bawah 4.2 juta kes jangkitan baharu minggu lalu dan kira-kira 13,700 kematian – menurun sebanyak lima peratus.

“Ini sangat menggalakkan, tetapi tiada jaminan trend ini akan berterusan.

“Perkara yang paling berbahaya ialah menganggap bahawa ia semakin beransur pulih,” katanya dalam taklimat akhbar pada Rabu.

Tedros berkata, walaupun jumlah kematian mingguan yang dilaporkan menjunam lebih daripada 80 peratus sejak Februari, dianggarkan seorang pesakit meninggal dunia setiap 44 saat dan kebanyakan kematian itu boleh dielakkan.

Dalam laporan pandemiknya, WHO berkata, kematian COVID-19 menurun di Asia Tenggara, Eropah dan Timur Tengah, tetapi meningkat di Afrika, Amerika dan Pasifik Barat.

Sementara itu, peneraju teknikal WHO mengenai COVID-19, Maria Van Kerkhove berkata, virus itu masih belum menjadi corak bermusim dan evolusi berterusannya memerlukan pengawasan.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button