Berita Utama

Doktrin BSD diceduk dari India, bahaya kepada Perlembagaan

‘Perkara 121(1A) yang kita perjuangkan selama ini semakin terancam’

 

BANGI, 11 Safar 1444H, Khamis – Lima peguam – atas kapasiti peribadi – melancarkan petisyen bantahan ke atas penggunaan ‘Basic Structure Doctrine’ (BSD) atau Doktrin Struktur Asas yang digunakan Mahkamah Persekutuan kebelakangan ini.

Petisyen yang dilancarkan peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Lukman Sheriff Alias, Yusfarizal Yusoff, Aidil Khalid dan Badruzzaman Ishak kini telah mencapai  lebih 1,500 tandatangan.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata, BSD yang diceduk dari India sudah ditolak penggunaannya oleh mahkamah tertinggi di Malaysia selama lebih 60 tahun dan oleh hakim-hakim agung seperti Almarhum Sultan Azlan Shah, Tun Mohd Sufian dan Tun Abdul Hamid.

Dakwa mereka, BSD yang cuba diterima dan diperkenalkan Mahkamah Persekutuan sekarang ini mempunyai ciri-ciri seperti pendirian bahawa Perlembagaan negara mempunyai struktur asas yang ditentukan oleh Mahkamah yang tidak boleh dipinda oleh Parlimen.

Menjelaskan lanjut, Yusfarizal berkata, Doctrine Basic Structure ini bermaksud, walau apa pun undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk pindaan Perlembagaan, ia boleh dibatalkan oleh Mahkamah Sivil sekiranya ia bertentangan dengan ‘basic structure’ Perlembagaan. 

“Takrif ‘basic structure’ ini pula terpulang kepada mahkamah yang banyak memandang kepada contoh luar seperti India dan Canada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yusfarizal memberikan contoh dalam kes membabitkan Sisters In Islam yang menyaksikan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor dicabar di Mahkamah Persekutuan. 

Beliau berkata, seksyen ini memberikan kuasa semakan kehakiman kepada Mahkamah Syariah untuk menyemak keputusan dan tindakan pihak berkuasa agama termasuk fatwa. 

“Bagaimanapun, ia diisytihar oleh Mahkamah Persekutuan dengan kekuatan 9 orang hakim sebagai tidak sah kerana ‘kuasa semakan kehakiman’ adalah kuasa Mahkamah Sivil semata-mata berdasarkan ‘doctrine basic structure’ dan tidak boleh diberikan kepada mana-mana pihak termasuk Mahkamah Syariah,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, ia sekali gus seolah-olah meletakkan Mahkamah Syariah sebagai rendahan daripada Mahkamah Sivil selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi (2018) yang menyebut:-

“As has been illustrated, civil and Syariah courts are distinct in nature and status: the former established under the Federal Constitution and vested with inherent judicial powers; whereas the latter are creatures of State legislation under the State List, and akin to inferior tribunals.”

“Contoh yang saya berikan tadi tentang kuasa semakan kehakiman yang tidak boleh diberikan kepada Mahkamah Syariah adalah salah satu ‘basic structure’ yang diisytihar Mahkamah. Ia tidak terhad di situ sahaja,” katanya.

Beliau menegaskan, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dan itu tidak dipertikaikan. 

Ia mengandungi asas pembentukan negara seperti institusi raja-raja, kedudukan bumiputera dan Bahasa Melayu, kedudukan Islam, dan juga hak-hak asasi yang termaktub mengikut acuan tempatan, katanya. 

“Mengimport ‘doctrine basic structure’ yang terlalu mencapah dan tidak terikat kepada perkataan tersurat Perlembagaan Persekutuan adalah sangat berbahaya. Sebab itu kita perlu membantah aplikasi ‘doctrine basic structure’ cedokan luar ini yang tidak terkawal.

“Ya, sekiranya Parlimen menggubal undang-undang yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan raja-raja atau perkara asas lain yang termaktub, ia boleh dicabar. Tetapi bukan dengan cara yang berlaku sekarang.

“Kerana ia bukan sahaja mengancam doktrin pengasingan kuasa dan seolah-olah menuju ke arah ‘judicial supremacy’, tetapi ia nampaknya semakin mengancam Perkara 121(1A) yang kita perjuangkan selama ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button