Dunia

EU beri UNICEF AS$3.7 juta bantu kanak-kanak di Gaza

Sumbangan untuk perkukuh pendidikan, kebersihan sekolah

GENEVA, 11 Safar 1444H, Khamis – Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) menerima geran berjumlah AS$3.7 juta daripada Kesatuan Eropah (EU) bagi membantu kanak-kanak Palestin di Semenanjung Gaza yang terkepung.

Program yang disokong EU itu adalah kerjasama antara UNICEF dan Kementerian Pembangunan Sosial Palestin, di mana jumlah sumbangan disalurkan ke arah memperkukuh perkhidmatan pendidikan, kemudahan air, sanitasi serta kebersihatan di sekolah.

Kanak-kanak membentuk hampir separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza.

Menurut kenyataan akhbar UNICEF, dana PBB akan membantu hampir 9,000 kanak-kanak yang terkesan di Semenanjung Gaza bagi memenuhi keperluan asas dan sokongan psikososial kepada mereka.

Katanya, gelombang terakhir keganasan ke atas Palestin bulan lalu, satu daripada tiga kanak-kanak di Gaza memerlukan bantuan psikologi dan sosial, namun pengeboman Israel baru-baru ini meningkatkan lagi jumlahnya.

Oleh itu, dana berkenaan bertujuan untuk menangani situasi kemanusiaan yang kritikal, di samping mengukuhkan sistem perlindungan sosial negara yang lebih sensitif kepada kanak-kanak.

“EU akan menyokong pendidikan pemulihan untuk meningkatkan kemahiran numerasi dan literasi sekurang-kurangnya 5,000 murid gred rendah di sekolah Gaza dan membabitkan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berisiko tercicir.

“Program rekreasi dan aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan juga akan dianjurkan untuk 10,000 kanak-kanak di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza ketika cuti musim panas pada 2023,” kata UNICEF.

Dalam serangan terbaharu tentera Israel selama tiga hari di Gaza pada 5 Ogos lalu, 49 mangsa terbunuh termasuk 17 kanak-kanak dan empat wanita.

PBB sebelum ini berulang kali memberi amaran terhadap keadaan di Semenanjung Gaza yang semakin kritikal dan menganggap tiada tempat selamat bagi kanak-kanak di wilayah terkepung itu.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button