Berita Utama

GTA mahu bela hak Melayu selepas terpinggir akibat penyelewengan

Orang Melayu perlu bangkit lawan ketirisan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 11 Safar 1444H, Khamis – Kewujudan Gerakan Tanah Air (GTA) bukan untuk memecah undi atau memporak-perandakan politik, sebaliknya adalah untuk membina semula negara.

Paling penting, agenda GTA jelas untuk menyatukan orang Melayu yang selama ini berpecah dan berhasrat membela nasib bangsa tonggak di negara ini.

Ketua Peneranganya, Datuk Nizam Mahshar berkata, GTA berhasrat memperbetulkan kesan teruk akibat penyelewengan dan kepentingan agenda peribadi pemimpin yang mementingkan kroni.

“Ada tuduhan dakwa kita porak-perandakan politik, hakikatnya tidak. Kita sebenarnya mahu bela kedudukan orang Melayu selepas kedudukan mereka semakin terpinggir akibat penyelewengan pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita nak cantumkan semula parti-parti Melayu yang boleh kembalikan kuasa dan hak terutama kepada orang Melayu, namun tak abaikan nasib bangsa-bangsa lain.

“Sepatutnya kita bangga dan hargai ada negarawan yang berusia 97 tahun tampil betulkan semula penyelewengan yang berlaku di negara ini,” katanya kepada Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, Nizam menjelaskan orang Melayu tidak boleh lagi berdiam diri dengan keadaan kucar-kacir yang berlaku dalam negara sehingga menyebabkan kedudukan orang Melayu khususnya semakin tertindas.

“Sepatutnya kita jadi sebuah negara usahawan, namun semua ini tidak terlaksana kerana peruntukan yang sewajarnya telah terpesong kepada pihak yang salah.

“Hakikatnya banyak masalah boleh diselesai sekiranya tiada penyelewengan, kita boleh tangani isu kemiskinan contohnya peluang pembangunan ekonomi cukup banyak untuk bangunkan orang Melayu.

“Jadi inilah masa kita bangkit perjuangkan tanah air. Kita tidak boleh berdiam membiarkan ketirisan yang selama ini dilakukan pihak berkepentingan sehingga orang Melayu tidak berjaya dan maju,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button