Berita Utama

Kembali muhasabah peranan sebagai anak dan ibu bapa

Tugas menghukum hanya terletak di bahu pihak berkuasa

BANGI, 11 Safar 1444H, Khamis – Tugas ‘menghukum’ bagi isu penganiayaan seorang bapa terhadap anak perempuannya dari sudut seksual dan emosi terletak di bahu pihak berkuasa.

Atas sebab itu, masyarakat perlu dididik untuk bersikap lebih berhati-hati, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Apabila berlaku konflik kekeluargaan seperti yang tular baru-baru ini, itulah saat terbaik masyarakat untuk kembali muhasabah peranan masing-masing sebagai anak dan ibu bapa serta memperkukuh kekurangan yang ada dalam keluarga masing-masing.

“Dari sinilah baru kita belajar tentang keperluan pemeliharaan aib dan kepentingan untuk menyalurkan masalah hanya kepada pihak berautoriti.

“Sistem sokongan seperti ini tidak akan berhasil tanpa ibu bapa dan ahli keluarga yang cakna dan benar-benar memainkan peranannya.

“Kita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada sistem perundangan kita. Di samping itu, sebagai muslim kita yakin Allah Maha Adil lagi Bijaksana. Besarnya tanggungjawab ibu bapa, besar juga dosa yang ditanggung jika amanah tidak dilunaskan sebaiknya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli menegaskan isu berkenaan bukanlah satu isu yang kecil.

“Saya tidak pasti kebenarannya kerana satu-satunya kaedah untuk mensahihkannya adalah muka pengadilan. Tindakan untuk melaporkan ke balai polis adalah amat wajar dan paling utama.

“Sebelum kita membangkitkan tentang aib, perkara yang lebih penting untuk kita muhasabah bersama adalah bagaimana sepatutnya sistem keibubapaan berfungsi sebagai tempat untuk anak-anak mengadu dan melaporkan sebarang masalah.

“Apakah respon mereka? Bagaimana tindakan mereka? Ia akan menentukan bagaimana kesudahannya bagi si anak sama ada masalah itu dipendam dan anak terus merana, atau dibongkar sehingga orang ramai pula yang menghakimi,” katanya.

Terdahulu, bapa kandung pelakon remaja perempuan ditahan polis susulan laporan polis dibuat anaknya membabitkan kes serangan seksual, pengabaian dan memiliki bahan lucah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di Kedah, 2.25 petang pada Selasa.

Sebelum ini, pelakon remaja berkenaan mendedahkan sikap buruk bapanya ketika ditemubual dalam satu program di YouTube.

Pelakon remaja itu mendakwa bapanya melakukan gangguan seksual terhadapnya, selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button