Mesir rekod kes cacar monyet pertama
Babit seorang lelaki bermastautin di negara Eropah

LONDON, 11 Safar 1444H, Khamis – Mesir mengesahkan kes cacar monyet pertama membabitkan seorang lelaki yang bermastautin di negara Eropah.
Kementerian Kesihatan dan Populasi Mesir berkata, lelaki berusia 42 tahun itu diasingkan di hospital dan keadaannya stabil.
“Kementerian Kesihatan dan Populasi mengumumkan bahawa sebagai sebahagian daripada susulan berterusan situasi epidemiologi, seorang warga Mesir disahkan positif virus cacar monyet.
“Jangkitannya ditemui melalui prosedur pemantauan epidemiologi yang dijalankan oleh kementerian,” katanya
Kementerian itu berkata, semua langkah kesihatan dan pencegahan telah diambil dengan kontak rapat pesakit, mengikut protokol rawatan dan susulan yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Wabak virus yang berterusan itu muncul pada Mei dan sejak itu telah merebak ke beberapa negara, termasuk Timur Tengah dan ia mengikuti pengasingan serta langkah kesihatan yang ketat selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.
WHO telah mengisytiharkan kecemasan kesihatan global kerana penyakit itu telah merebak ke puluhan negara. – Agensi