Berita Utama

OPR naik lagi, kali ketiga tahun ini

Naik 25 mata asas, kadar baharu kini 2.50

BANGI, 11 Safar 1444H, Khamis – Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan 25 mata asas sekali gus menjadikan kadar ketika ini adalah 2.50 peratus, kenaikan kali ketiga berturut-turut, tahun ini.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

Perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang bermesyuarat selama dua hari bermula semalam.

Bank pusat dalam kenyataan memaklumkan, berikutan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif terus kukuh, MPC mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari.

“Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal serta akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

“Ekonomi global terus berkembang, meskipun pada kadar sederhana, disebabkan oleh tekanan kos yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta langkah-langkah pembendungan yang ketat di China,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan global terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan pembukaan semula sepenuhnya bagi kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa.

“MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal serta akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

“Sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, tekanan inflasi inflasi kekal tinggi disebabkan oleh harga komoditi semakin meningkat dan pasaran pekerja yang ketat, meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.

“Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat.

“Khususnya, pelarasan kadar faedah AS yang agresif telah menyumbang kepada persekitaran dolar AS yang kukuh,”katanya.

Berhubung inflasi, BNM berkata inflasi keseluruhan yang berpurata pada 2.8 peratus diunjur mencapai tahap tertinggi pada suku ketiga tahun 2022 sebelum menurun selepas itu.

“Hal ini disebabkan oleh kesan asas yang semakin luput dan juga sejajar dengan harga komoditi global yang dijangka semakin menurun.

“Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata lebih hampir pada tahap tinggi dalam julat unjuran 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada tahun 2022,” memetik kenyataan tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button