Pakistan seperti ‘laut’ selepas dilanda banjir
18 lagi maut, angka korban cecah 1,343 orang

SEHWAN, 11 Safar 1444H, Khamis – Sebahagian Pakistan kelihatan seperti ‘laut’, kata Perdana Menteri, Shehbaz Sharif selepas melawat beberapa kawasan dilanda banjir yang meliputi satu pertiga daripada negara Asia Selatan.
Sebanyak 33 juta daripada populasi 220 juta terjejas dalam bencana akibat perubahan iklim yang menyebabkan ratusan ribu kehilangan tempat tinggal dan kerugian sekurang-kurangnya AS$10 bilion, menurut anggaran pegawai.
“Anda tidak akan percaya skala kemusnahan di sana. Air di mana-mana sejauh yang anda lihat. Ia seperti laut,” kata Sharif kepada media selepas lawatan ke wilayah selatan Sindh.
Kerajaan – yang telah meningkatkan pemberian wang tunai untuk mangsa banjir kepada 70 bilion rupee Pakistan (AS$313.90 juta) – akan membeli 200,000 khemah bagi menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal, katanya
Sharif berkata, air yang surut mengancam cabaran baharu dalam bentuk penyakit berjangkit bawaan air.
Ramai daripada mereka yang terjejas adalah dari Sindh, di mana tasik air tawar terbesar di Pakistan hampir mencecah tebing.
Pegawai bencana negara berkata, lapan kanak-kanak antara yang maut dalam tempoh 24 jam yang lepas.
Banjir itu disebabkan oleh rekod hujan monsun dan pencairan glasier di pergunungan utara Pakistan.
Banjir telah menghanyutkan 1.6 juta rumah, 5,735 km (3,564 batu) rangkaian pengangkutan, 750,000 ekor ternakan, dan membanjiri lebih daripada 2 juta ekar (809,370 hektar) tanah ladang.
Jurucakap kerajaan wilayah Murtaza Wahab berkata, pegawai di Sindh menjangkakan air akan surut dalam beberapa hari akan datang.
“Strategi kami sekarang ialah bersedia untuk penanaman gandum sebaik air surut,” katanya.
Bagaimanapun seorang pegawai tinggi Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) memberi amaran, dengan lebih banyak hujan dijangka pada bulan akan datang, keadaan boleh menjadi lebih teruk.
Terdahulu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, lebih daripada 6.4 juta orang memerlukan sokongan kemanusiaan di kawasan banjir.
Semalam, pihak berkuasa melaporkan, 18 lagi orang maut di Pakistan, menjadikan 1,343 jumlah korban dalam banjir yang belum pernah terjadi sebelumnya.
Pakistan menerima hampir 190 peratus lebih banyak hujan daripada purata 30 tahun pada Julai dan Ogos, berjumlah 391 mm (15.4 inci), dengan Sindh mendapat 466 peratus – lebih banyak hujan daripada jumlah purata. – Agensi