Berita Utama

Penyatuan ummah strategi paling ampuh menang PRU15

Masih ada pihak sanggup ketepi penyatuan demi kepentingan sendiri

BANGI, 11 Safar 1444H, Khamis – Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa semua pihak bernaung di bawah gagasan penyatuan ummah bagi mendepani cabaran mendatang khususnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya berkata, gagasan itu adalah pintu gerbang penyatuan bukan sahaja umat Islam, bahkan juga golongan bukan Islam yang berpegang kepada prinsip sama.

Beliau berkata, gagasan penyatuan ummah adalah pendekatan terbaik menyatupadukan umat Islam, selain membentengi kebobrokan yang dicetuskan sesetengah kelompok berkepentingan dalam negara.

“Hal yang demikian termasuklah menjadikan gagasan ini sebagai formula boleh menang dalam PRU15.

“Sudah sampai masanya umat Islam bersatu padu mempertahankan Islam daripada segala aspek khususnya medan politik yang sentiasa terbuka kepada ruang eksploitasi musuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad berkata, ironinya masih ada pihak yang sanggup mengetepikan gagasan itu semata-mata mahu mempertahankan kepentingan sendiri.

“Dewan Ulamak PAS Pusat ingin mengulangi gesaan bahawa gagasan penyatuan ummah merupakan strategi paling ampuh untuk memastikan kemenangan dalam PRU15.

“Ia hadir menangani kerosakan pemerintahan Pakatan Harapan dan sewajarnya diteruskan bagi memperkukuhkan kedudukan Islam dalam negara,” katanya.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memuktamadkan pendirian partinya untuk bergerak solo menghadapi PRU15 tanpa PAS yang kekal mempertahankan semangat Muafakat Nasional (MN).

Rata-rata kepimpinan UMNO bertegas ‘melupakan’ kesepakatan yang terbentuk dalam MN – yang sebelum ini diuar-uar sebagai parti ‘adik beradik’ – ekoran sikap dan tindak tanduk PAS yang didakwa mandi dalam beberapa kolam.

Hubungan tegang dua parti itu berlaku selepas PAS memutuskan bersama Bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button