Berita Utama

PKR paling takut PRU tahun ini sebab masih kelam kabut

Puad dakwa rekod buruk PRN Melaka dan Johor hantui mereka

BANGI, 11 Safar 1444H, Khamis – PKR paling takut kalau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuat tahun ini kerana mereka masih kelam kabut, belum bersedia dan mula bimbang jika keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini diisytiharkan ‘null and void’, dakwa Datuk Mohd Puad Zarkashi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, ketidaksediaan itu juga jelas apabila parti itu menjadikan bencana banjir sebagai alasan supaya PRU15 tidak dipercepatkan.

“Ketua Penerangannya, Fahmi Fadzil kata lebih baik dana PRU RM1 bilion itu digunakan untuk bantu mangsa banjir. 

“Logik apa yang Fahmi pakai. Kalau tahun hadapan belanjanya tetap RM1 bilion. Tahun ini atau tahun hadapan sudah tentu bajet untuk PRU sudah diluluskan.

“Sudah tentu juga ada bajet kecemasan untuk bencana alam. Kerajaan yang cekap tahu bagaimana mengurus bencana banjir,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Puad dengan sinis berkata, Pakatan Harapan (PH) seeloknya mengaku bahawa mereka belum bersedia berdepan pilihan raya. 

Malah, katanya, rekod buruk PKR di Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negara (PRN) Melaka dan Johor menghantui mereka. 

“PKR belum jumpa fitnah sebesar 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Fitnah kapal tempur pesisir (LCS) gagal,” katanya lagi.

Semalam, Fahmi Fadzil mempersoalkan kewajaran perbelanjaan sebanyak RM1 bilion untuk PRU15 jika ia diadakan pada tahun ini kerana bimbang dengan kejadian banjir kilat kebelakangan ini.

Menurutnya, adalah lebih baik wang itu digunakan bagi membantu rakyat.

Pada masa sama, Fahmi berpandangan, PRU15 sesuai diadakan pada tahun depan memandangkan masih mempunyai banyak masa kerana Parlimen akan terbubar secara automatik selewatnya pada 15 Julai 2023.

“Paling lewat Parlimen dibubarkan secara automatik pada 15 Julai 2023, bermaksud pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari, sama ada pada 14 atau 15 September 2023,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button