Berita Utama

PN tetap tak bekerjasama pihak terpalit rasuah, kes mahkamah

Akan dapatkan penjelasan berhubung dakwaan kerjasama PAS-UMNO

KUALA LUMPUR, 11 Safar 1444H, Khamis –  Perikatan Nasional (PN) akan mendapatkan penjelasan daripada PAS berhubung dakwaan wujud rundingan sulit antara parti itu dan UMNO mengenai keperluan kerjasama menentang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penjelasan daripada presiden atau setiausaha agung PAS itu penting untuk mengetahui kebenaran rundingan berkenaan.

“Apakah ia benar-benar serius dan sejauh mana perkara itu akan berlaku…perkara ini saya akan fikirkan tetapi sekarang ini, saya tidak boleh komen apa-apa kerana saya dengar daripada media.

“Apa yang saya tahu kepimpinan UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu telah membuat keputusan tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), keputusan itu sehingga kini masih tidak berubah.

“.. kami (Bersatu) pula dah tubuh PN dan PAS bersama kami, jadi macam mana kami hendak hadapi PRU dalam situasi mcam ini? Pada saya, kami perlu ambil tindakan supaya PN dapat ambil satu pendirian yang jelas supaya tiada keraguan tentang bagaimana hala tuju kami pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin hari ini yang mendakwa wujud rundingan sulit membabitkan pemimpin tertentu dalam UMNO dan PAS menyentuh keperluan satu lawan satu antara mereka dan PH pada PRU15 akan datang.

Hashim berkata, partinya mahu UMNO tahu bahawa musuh utama pada PRU15 kelak adalah PH dan bukannya Bersatu.

Ditanya lanjut mengenai keputusan Muktamar PAS terhadap kerjasama itu, Muhyiddin berkata, perkara itu juga akan dilihat sewaktu hendak mendapatkan penjelasan daripada pemimpin parti berkenaan.

“Setakat ini, tiada laporan (keputusan Muktamar PAS) diberikan kepada kami tetapi apabila saya adakan pertemuan dengan pemimpin parti komponen lain, saya maklumkan dan dapatkan pandangan mereka sama ada wajar atau tidak wajar itu .

“Saya tidak mahu dilihat sebuah parti yang punyai pelbagai pendirian, itu tidak baik untuk masa depan PN.

“Pendirian PN jelas dalam banyak perkara termasuklah untuk tidak bekerjasama dengan pihak yang sudah terpalit dengan salah guna kuasa, rasuah, kes mahkamah dan macam-macam lagi. Apapun perkara ini kami akan bincang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button