Berita Utama

SJKC kurang murid: Timbalan Menteri, Dong Zong, Jiao Zong dan pertubuhan Cina lain cari penyelesaian

Pelan pembangunan SJKC Mikro tak didedah dalam masa terdekat

BANGI, 12 Safar 1444H, Jumaat – Jawatankuasa Kerja Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mikro menetapkan tiga hala tuju yang akan diketuai oleh Dong Zong, Majlis Bahasa Cina Malaysia dan Pusat Penyelidikan Cina.

Antara hala tuju kerja ditetapkan adalah mengumpul maklumat mengenai SJKC Mikro; merancang bahan pengajaran serta perkongsian data dan maklumat bagi merangka pelan pembangunan SJKC Mikro.

Memetik laporan 8TV, Dong Zong akan melawat 98 buah SJKC Mikro dengan murid kurang dari 30 orang bagi membincangkan pelan penyelesaian yang sesuai mengikut sesebuah sekolah.

Bagi hala tuju kedua, Majlis Bahasa Cina Malaysia akan berbincang dengan bahagian perkembangan kurikulum Kementerian Pendidikan, pertubuhan pendidikan dan ahli akademik mengenai rancangan yang membabitkan bahan pengajaran, kelengkapan, program dan pelan pendidikan yang diperlukan oleh SJKC Mikro.

Hala tuju ketiga pula yang diketuai oleh Pusat Penyelidikan Cina melibatkan perkongsian data dan maklumat mengenai SJKC Mikro yang diperolehi dari ahli akademik dan penyelidik bagi merangka pelan perkembangan 10 tahun untuk sekolah berkenaan.

Perkara itu diputuskan hasil perbincangan selama tiga jam Mesyuarat Jawatankuasa SJKC Mikro pertama yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon mempengerusikan mesyuarat berkenaan – yang dihadiri kira-kira 13 pertubuhan Cina di Putrajaya pada Rabu lalu.

Menurutnya, pada masa akan datang KPM akan menjemput lebih ramai wakil pertubuhan-pertubuhan bagi membincangkan isu melibatkan SJKC Mikro.

“Kita perlu profesional dan menggunakan kaedah saintifik untuk merangka hala tuju perkembangan SJKC Mikro terutamanya dalam meningkatkan mutu pendidikannya,” katanya.

Difahamkan, pertubuhan-pertubuhan yang menyertai mesyuarat itu akan mula mengumpul maklumat yang diperlukan dan mengadakan mesyuarat kedua selepas tiga bulan.

Bagaimanapun pelan pembangunan SJKC Mikro tidak akan didedahkan dalam masa terdekat.

“Kita akan dapat gambaran kasar kepada penyelesaian pada mesyuarat tiga bulan akan datang.

“Saya berpendapat perkara ini memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan. Untuk mendapatkan maklumat lengkap pula memerlukan masa lebih lama mungkin setahun,” kata Hang Soon.

Menurut Kementerian Pendidikan, dari 1,302 buah SJKC di seluruh negara, 616 buah atau 47.3% mempunyai murid kurang daripada 150 orang.

Keadaan yang sama turut berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Pada Ogos lalu, Kementerian Pendidikan telah membuat tinjauan dalam kalangan ibu bapa murid SJKC Mikro mengenai rancangan penggabungan sekolah yang telah menarik perhatian masyarakat Cina sehingga kedengaran saranan ‘Tidak boleh kurang walaupun sebuah (sekolah)’.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan telah berjanji untuk menangguhkan sementara rancangan penggabungan sekolah untuk pertimbangan semula bagi mendapatkan penyelesaian terbaik untuk SJKC Mikro demi perkembangannya.

Pautan terdahulu;

Masyarakat Cina tak mahu bilangan SJKC dikurangkan


https://ismaweb.net/2022/09/03/jiao-zong-tetap-pendirian-tak-mahu-gabung-sjkc-mikro1/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button