Berita Utama

ISMA bantah penggunaan doktrin BSD

Nafi hak rakyat selaku penggubal undang-undang melalui Parlimen

BANGI, 12 Safar 1444H, Jumaat – Tidak mustahil penggunaan Doktrin Struktur Asas (BSD) dalam perundangan dan amalan di Mahkamah Persekutuan boleh menggugat asas pembentukan negara.

Bahkan, ia juga dibimbangi boleh menimbulkan kekacauan dalam perundangan negara setelah amalan pengasingan tiga kuasa terhapus.

Atas dasar itu, gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membantah penggunaan BSD yang ingin dijadikan amalan di Mahkamah Persekutuan.

Presidennya, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, ISMA gusar jika BSD dijadikan amalan perundangan, ini secara tidak langsung akan menggugat kuasa dan merendahkan lagi martabat Mahkamah Syariah.

“Selaku rakyat Malaysia, ISMA melihat BSD ini akan menidakkan hak sebagai rakyat Malaysia selaku penggubal undang-undang melalui Parlimen.

“Justeru itu, ISMA menyokong sepenuhnya petisyen yang dilancarkan oleh saudara Lukman Sheriff dan rakan-rakan peguamnya (http://chnng.it/Z5hWSmfMsL),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, ISMA juga akan melancarkan kempen menentang BSD dan mengajak semua badan-badan kerajaan, bukan kerajaan serta seluruh umat Islam untuk turut serta.

Semalam, Ismaweb.net melaporkan lima peguam – atas kapasiti peribadi – melancarkan petisyen bantahan ke atas penggunaan BSD di Mahkamah Persekutuan kebelakangan ini.

Petisyen itu dilancarkan bersama lima peguam iaitu Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Lukman Sheriff Alias, Yusfarizal Yusoff, Aidil Khalid dan Badruzzaman Ishak.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata, BSD yang diceduk dari India sudah ditolak penggunaannya oleh mahkamah tertinggi di Malaysia selama lebih 60 tahun dan oleh hakim-hakim agung seperti Almarhum Sultan Azlan Shah, Tun Mohd Sufian dan Tun Abdul Hamid.

Dakwa mereka, BSD yang cuba diterima dan diperkenalkan Mahkamah Persekutuan sekarang ini mempunyai ciri-ciri seperti pendirian bahawa Perlembagaan negara mempunyai struktur asas yang ditentukan oleh mahkamah yang tidak boleh dipinda oleh Parlimen.

Setakat jam 11 pagi ini, petisyen di platform change.org itu sudah menerima lebih 1,700 tandatangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button