Artikel Khas

‘Jerung’ pemberi rasuah mesti dibanteras habis-habisan

Persepsi awam seolah pemberi rasuah kebal dan dilindungi

SELAMA ini memang sedap pihak tertentu melabel bangsa Melayu kononnya bangsa perasuah seolah-olah orang Melayulah punca kemunduran negara.

Ya, memang data menunjukkan majoriti yang ditangkap MENERIMA rasuah adalah orang Melayu. Malah, itulah yang terpampang di media-media massa. Inilah bilis-bilis yang sentiasa jadi sasaran mudah.

Namun, apa yang saya pelik, mengapa puak yang sama yang sering melebel bangsa Melayu seolah-olah sebagai ‘Bangsa Rasuah’ meloncat dan menggelupur seperti cacing kepanasan apabila ada yang mendedahkan data PEMBERI rasuah pula?

Apakah selepas ini akan ada desakan agar data yang didedahkan itu disorokkan ‘demi keharmonian’? Macam tidak mustahil, kerana puak-puak itu memang kiasu sungguh perangainya.

Apa-apa pun, itu bukanlah perkara yang utama yang saya ingin ulaskan kali ini kerana saya ingin mengulas mengenai golongan PEMBERI rasuah.

Saya tak pastilah mengapa selama ini berita mengenai penangkapan pemberi rasuah tidak mendapat liputan meluas. Pelbagai persoalan yang bermain di minda. Saya yakin anda pun terfikir perkara yang sama.

Apakah kerana memang kurangnya penangkapan pemberi rasuah oleh pihak berkuasa?

Atau sebenarnya memang sengaja berita mengenai penangkapan pemberi rasuah tidak dilaporkan atau digembar-gemburkan?

Atau memang kerana kedua-duanya sekali?

Pihak berkuasa perlu berusaha membuat pembetulan dan penambahbaikan kerana persepsi orang awam sekarang ini ialah pemberi rasuah seolah-olah kebal dan dilindungi.

‘Jerung’ pemberi rasuah mesti dibanteras habis-habisan secara serius. Jika hanya mampu dan mahu tangkap ‘ikan bilis’, maka hasilnya akan sebesar ‘ikan bilis’ sahajalah.

Apa-apa pun, syabas kepada Saudari Christine Siew-Pyng Chong dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah membuat kajian yang membuka mata orang ramai ini. Dan lebih membanggakan, beliau telah berjaya menerbitkannya di sebuah journal terkemuka milik Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
9 September 2022

Rujukan: https://direct.mit.edu/asep/article-abstract/16/1/66/17122/The-Size-and-Costs-of-Bribes-in-Malaysia-An?redirectedFrom=fulltext

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button