Lapangan terbang Aleppo kembali beroperasi
Trafik udara disambung semula mulai tengah hari

DAMSYIK, 12 Safar 1444H, Jumaat – Penerbangan disambung semula dari Aleppo pada Jumaat selepas pembaikan dilakukan ke atas lapangan terbang kedua terbesar Syria susulan serangan udara negara pengganas Israel awal minggu ini.
Kerosakan pada landasan utama dalam serangan pada Selasa menyebabkan lapangan terbang itu tidak beroperasi.
Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan disiarkan oleh agensi berita negara, SANA, berkata, pembaikan kini telah selesai dan lapangan terbang itu bersedia untuk dibuka semula.
Katanya, trafik udara akan disambung semula mulai tengah hari (0900 GMT).
Menurut kumpulan pemantau peperangan – yang berpangkalan di Britain – Syrian Observatory for Human Rights – serangan Israel menyasarkan sebuah gudang yang digunakan oleh militia yang disokong Iran.
Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Israel telah melakukan ratusan serangan terhadap jirannya di utara, menyasarkan tentera kerajaan serta sekutu yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah. – Agensi
Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/09/07/israel-serang-lagi-lapangan-terbang-aleppo/