Berita Utama

Mujahid dakwa ada bukti skandal OPV

Minta Abdul Azeez periksa fakta sebelum dakwa tabur fitnah

BANGI, 12 Safar 1444H, Jumaat – Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mendakwa mempunyai bukti berhubung skandal kapal peronda luar pesisir (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Sehubungan itu, beliau meminta Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim supaya memeriksa fakta terlebih dahulu, sebelum mendakwanya menabur fitnah.

“Jika saya cakap salah, betulkan dan buktikan. Saya siap sedia kerana saya bukan cakap kosong, melainkan ada bersama bukti-bukti,” katanya seperti dipetik media tempatan hari ini.

Sebelum ini, Abdul Azeez membuat laporan polis ke atas Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu kerana memfitnahnya berkaitan kontrak OPV.

Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH) itu turut akan memfailkan saman kerana Mujahid mengeluarkan kenyataan dengan perkataan berbaur fitnah dan hasutan berkaitan TH.

“Saya merasa begitu terkilan dengan tohmahan dan fitnah oleh Mujahid berkaitan dengan kontrak OPV yang disiarkan melalui Facebooknya dan Instagram Sinar Harian pada 2 September lalu.

“Fitnah beliau dengan jelas menyebut nama saya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif TH ketika itu mendapat kontrak secara direct nego berjumlah RM739 juta melalui Datuk Seri Najib Tun Razak kepada TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

“Saya telah buat laporan polis semalam dan tanpa teragak-agak akan memfailkan saman fitnah ke atas Mujahid yang berkali-kali mengaitkan saya dengan perkataan fitnah serta hasutan berkaitan TH,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button