Berita Utama

OPR naik, rakyat makin rasa terbeban

Penganalisis jangka ada kenaikan lagi pada November

BANGI, 12 Safar 1444H, Jumaat – Selain isu harga barang dan kos sara hidup, kenaikan kali ketiga Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun ini, mencetuskan pelbagai rungutan daripada majoriti rakyat.

Ia susulan pengumuman Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) semalam, dengan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

Kenaikan kadar itu telah menggusarkan rata-rata rakyat yang menjangka mereka bakal terbeban dengan ansuran bulanan pinjaman.

“Sesiapa ada pinjaman bank akan menghadapi kenaikan jumlah ansuran bulanan,” kata Azarita Ita.

“Kalau pun nak seimbangkan dengan USD, kenalah seimbangkan pendapatan dengan perbelanjaan. Naya kepada peminjam kalau bayar macam biasa kemudian diisytihar muflis kerana tak mampu nak bayar kenaikan pinjaman,” kata Abdullah Ishak.

Sebahagian netizen juga menggangap kenaikan kadar OPR tidak seimbang kerana ia secara tidak langsung mengakibatkan banyak kos lain turut terkesan termasuk harga barang.

Bahkan, kebimbangan kepada kenaikan itu juga bukan hanya membabitkan individu yang mempunyai pinjaman rumah, sebaliknya mereka yang menyewa juga bakal menerima tempias.

“Dah tentulah pemilik rumah akan naikkan kadar sewa selepas mereka juga terpaksa menghadapi kenaikan ansuran bulanan pinjaman kepada bank,” kata Mohd Aqil.

“Konon nak lawan inflasi, sudahnya bank yang untung rakyat pula merana dengan bebanan kos,” kata Mohd Sham Muhammad Rizal.

Terbaharu, penganalisis menjangkakan akan ada satu lagi kenaikan 25 mata asas November ini.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan/ Ketua Penyelidik AmBank Research, Dr Anthony Dass berkata, sebab utama OPR terus meningkat kerana pertumbuhan kukuh ekonomi dan kebimbangan inflasi yang didorong oleh faktor bekalan dan permintaan.

“Terdapat kemungkinan lagi kenaikan 25 mata asas yang akan dibuat pada mesyuarat (MPC) November ini, bergantung kepada data akan datang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button