Berita Utama

Puad dakwa GTA hanya muslihat Tun M nak jadi ‘king maker’

Niat Tun M-Muhyiddin untuk bunuh UMNO gagal

BANGI, 12 Safar 1444H, Jumaat – Datuk Dr Puad Zarkashi mendakwa Gerakan Tanah Air (GTA) – yang telah menghantar permohonannya untuk didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) – hanyalah muslihat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi ‘king maker’.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu mendakwa, bekas Perdana Menteri kini mencari ‘bargaining power’ (kuasa tawar-menawar) kerana menang dua atau tiga kerusi sudah cukup mencari ‘mangsa baharu’.

Bagaimanapun katanya, GTA tiada parti yang dominan kerana ia hanya disertai oleh Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), BERJASA, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

“GTA berasaskan politik Melayu-Islam. Tanpa sokongan orang Cina, GTA tidak ke mana. DAP yang Tun M sucikan sebagai parti bukan cauvinis tidak lagi mempercayainya.

“DAP serik dengan apa yang Tun M buat kepada mereka. PH tumbang selepas 22 bulan kerana politik toksik Mahathir-Muhyiddin,” dakwanya.

Selain itu, Mohd Puad mendakwa, Dr Mahathir hanya mahu menyelamatkan politik anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang diharapkan dapat meneruskan legasinya.

Beliau percaya hanya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yaasin dapat membantu Dr Mahathir memandangkan kedua-duanya terdesak.

“Sudahlah Tun M-Muhyiddin. Game over. Niat kamu berdua untuk bunuh UMNO gagal,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button