Dunia

Ratu Elizabeth II meninggal dunia pada usia 96 tahun

Putera Charles secara automatik jadi raja UK, ketua negara

LONDON, 12 Safar 1444H, Jumaat – Ratu Elizabeth – raja paling lama memerintah Britain dan tokoh negara selama tujuh dekad – meninggal dunia di rumahnya di Scotland pada usia 96 tahun.

Istana Buckingham dalam satu kenyataan memaklumkan, Permaisuri Elizabeth meninggal duniat di Balmoral pada petang Khamis.

“Permaisuri meninggal dunia dengan tenang di Balmoral.

“Raja dan Permaisuri akan kekal di Balmoral petang Khamis dan akan kembali ke London Jumaat (hari ini),” kata istana.

Anak sulung Elizabeth, Charles, 73, secara automatik menjadi raja United Kingdom dan ketua negara bagi 14 negeri lain termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.

Isterinya, Camilla pula menjadi permaisuri.

Berita bahawa kesihatan Elizabeth merosot muncul sejurus selepas tengah hari Khamis apabila doktornya mengesahkan dia berada di bawah pengawasan perubatan, dan mendorong keluarga bergegas berada di sisi di rumahnya di Scotland, Balmoral.

Istana Buckingham sebelum ini memaklumkan Elizabeth mengalami ‘masalah mobiliti episod’ sejak akhir tahun lalu, yang memaksanya untuk menarik diri daripada hampir semua pembabitan awam.

Pembabitan awam terakhirnya dibuat hanya pada Selasa, apabila dia melantik Liz Truss sebagai Perdana Menteri ke-15.

Di istana dan bangunan kerajaan di seluruh London, bendera diturunkan separuh tiang.

Ratu Elizabeth II, yang juga ketua negara tertua dan paling lama berkhidmat di dunia, naik takhta menjadi raja berikutan kematian bapanya Raja George VI pada 6 Februari 1952 ketika dia berusia 25 tahun.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button