Berita Utama

Waspada sindiket ‘scammer’: Khutbah

13,137 kes dilaporkan setakat Julai dengan kerugian RM427 juta

BANGI, 12 Safar 1444H, Jumaat – Khutbah Jumaat hari ini mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan melalui siber atau scammer.

Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu berkata, sehingga Julai tahun ini, sebanyak 13,137 kes penipuan dalam talian dilaporkan dengan jumlah kerugian melebihi RM427 juta.

Katanya, modus operandi penjenayah ‘scammer’ sentiasa berubah dan wujud dalam pelbagai bentuk penipuan seperti penyamaran sebagai ahli keluarga atau pihak berkuasa dan penipuan memenangi peraduan serta cabutan bertuah.

“Antara punca yang menyebabkan mangsa mudah terpedaya ialah kebiasaannya penjenayah-penjenayah ini dapat menyebut identiti mangsa dengan tepat.

“Selain itu, mangsa juga diugut akan ditangkap, dituduh, direman dan dikenakan tindakan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) yang menjadikan mangsa berasa takut sehingga sanggup mengikut arahan yang diberikan penjenayah,” kata khutbah.

Oleh itu, khatib mengingatkan umat Islam sekiranya berdepan situasi demikian supaya tidak panik dan teragak-agak untuk menamatkan panggilan berkenaan.

“Kita mesti mengambil tahu bahawa apa-apa urusan lebih-lebih lagi yang melibatkan urusan rasmi kerajaan seperti urusan mahkamah, ianya sama sekali tidak akan dilakukan secara dalam talian sahaja sebaliknya perlu dijalankan secara bersemuka apatah lagi jika melibatkan urusan seperti pembekuan aset.

“Rujuklah agensi atau pihak berkaitan secara terus sebelum melakukan apa-apa tindakan,” katanya.

Pada masa sama, khatib turut mengingatkan umat Islam supaya tidak sekali-kali terbabit dengan aktiviti jenayah itu termasuklah bersubahat, rela dipergunakan atau membiarkan akaun bank digunakan orang lain secara sukarela bagi mendapatkan habuan, mahupun dengan cara penipuan untuk transaksi kewangan tidak sah.

“Kebanyakan mereka yang sanggup terlibat dengan akaun keldai atau akaun tumpang ini ialah golongan yang terdesak atau mengejar pendapatan lebih dan mempunyai tahap celik kewangan yang rendah.

“Antara golongan yang sering menjadi mangsa adalah suri rumah, penganggur, pelajar dan warga emas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button