Berita UtamaDunia

Pro-Palestin berhimpun bantah normalisasi Maghribi, Israel

Duta Israel berdepan dakwaan eksploitasi wanita

RABAT, 13 Safar 1444H, Sabtu – Ratusan penyokong pro-Palestin membantah di luar Parlimen Maghribi pada Jumaat bagi menentang normalisasi hubungan kerajaan dengan Israel.

Ia selepas negara Yahudi itu memanggil semula utusan tertingginya dari Rabat di tengah-tengah siasatan.

Kira-kira 100 orang melaungkan slogan menentang hubungan rapat antara Maghribi dan Israel, mengkritik dutanya David Govrin dan Menteri Luar Maghribi, Nasser Bourita.

Penyiaran awam Israel, Kan, pada Isnin lalu melaporkan delegasi Kementerian Luar telah dihantar ke Rabat, berikutan dakwaan penderaan seksual terhadap utusan Govrin.

Sumber diplomatik Israel mengesahkan kepada AFP bahawa Govrin telah dipanggil semula ketika siasatan dijalankan, tanpa memperincikan jenis siasatan.

Menurut media Israel, utusan itu berdepan dakwaan mengeksploitasi wanita Maghribi, gangguan seksual dan pendedahan tidak senonoh.

“Hari ini, kami berada di hadapan Parlimen untuk memprotes tindakan keji itu – yang didakwa dilakukan oleh Govrin,” kata Amine Abdelhamid, seorang aktivis pro-Palestin yang menentang normalisasi antara Maghribi dan Israel.

“Maruah Maghribi bukan untuk dijual, normalisasi mesti ditamatkan,” katanya.

Penunjuk perasaan membakar bendera Israel pada akhir demonstrasi.

Rabat memutuskan hubungan dengan Israel pada 2000 berikutan tercetusnya intifada Palestin kedua.

Bagaimanapun pada 2020 Maghribi mengikuti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain dalam merasmikan hubungan dengan Israel.

Perjanjian yang disokong Amerika Syarikat (AS) itu menyaksikan Washington mengiktiraf kedaulatan Maghribi ke atas wilayah Sahara Barat yang dipertikaikan.

Govrin, 59, berkhidmat sebagai utusan Israel ke Kaherah sebelum dilantik sebagai duta ke Rabat tahun lepas.

Kementerian Luar Israel tidak mengulas ketika dihubungi AFP minggu ini mengenai siasatan.

Terdapat juga dakwaan penyelewengan dan kehilangan hadiah daripada raja Maghribi untuk meraikan Hari Kemerdekaan Israel.

Govrin kini berada di Israel dan terbabit dalam siasatan yang sedang dijalankan, kata sumber diplomatik Israel.

Pihak berkuasa Maghribi belum mengulas mengenai perkara itu setakat ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button