Berita Utama

Dasar perbandaran jamin politik, ekonomi Melayu tak boleh ditangguh lagi

Jangan sampai bila sudah parah baru cari penyelesaian

BANGI, 13 Safar 1444H, Sabtu – Proses perbandaran di negara ini memerlukan satu paradigma baharu yang memberikan tumpuan kepada orang Melayu.

Langkah itu perlu untuk mengelak daripada penyisihan Melayu dalam perbandaran.

Bahkan dasar sesuai demi kepentingan Melayu perlu digarap pimpinan politik berkuasa.

Bekas Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Mohd Noor Yazid berkata, pihak berkuasa dan pemimpin politik Melayu perlu melihat proses perbandaran sebagai satu isu besar yang perlu dirancang dan ditangani dengan lebih baik.

Katanya, proses perbandaran yang sedang berlaku ini memungkinkan wujudnya negara dengan ciri kependudukan, objektif politik dan falsafah politik berbeza yang semestinya tidak akan memberi kesan positif bagi kestabilan serta kekuatan sebagai sebuah negara-bangsa dalam jangka panjang.

“Jangan apabila keadaan sudah benar-benar parah dan tidak dapat diperbaiki hingga nasi menjadi bubur, barulah kita terkial-kial mencari penyelesaian dan perubahan dasar.

“Realitinya, tindakan segera dan dasar perbandaran menjamin ekonomi dan politik Melayu tidak boleh ditangguhkan lagi,” katanya seperti dipetik dalam ruangan rencana di Berita Harian.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemimpin sekarang perlu menjawab sama ada mereka sedar pertumbuhan bandar selama ini secara tidak langsung seolah-olah menghakis kawasan dominan pengundi Melayu dan membentuk satu kawasan baharu pengundi kaum bukan Melayu.

Ia akan membawa persoalan jangka panjang, iaitu apakah kesan kepada kestabilan politik Melayu dan negara yang pada asasnya didominasi pimpinan Melayu.

“Ini adalah beberapa persoalan perlu difikirkan bersama, terutama pemimpin politik Melayu dan pihak berkuasa dalam perancangan serta pembinaan bandar.

“Sejauh manakah persoalan kestabilan sosial dan politik diambil kira pimpinan negara kita? Sekiranya belum ada kesedaran, hal ini perlu dibangkitkan sekarang sebelum menjadi lebih parah dan sukar dibendung,” katanya.

Pautan asal artikel;
https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/09/998177/penipuan-tanpa-sedar-perbandaran-baharu-asalnya-kawasan-luar-bandar

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button