Berita Utama

Gabung SJKC-SJKT kurang murid, bentuk SK berwajah nasional

Fokus sekolah ramai murid dengan pelbagai kemudahan dan infrastruktur

BANGI, 13 Safar 1444H, Sabtu – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengkaji semula isu sekolah kurang murid dengan perancangan yang lebih sistematik.

Sebelum ini, kementerian melaporkan, 3,017 sekolah rendah di Malaysia adalah sekolah kurang murid (SKM) iaitu kurang daripada 150 pelajar pada satu-satu masa.

Jumlah itu melibatkan 2,034 Sekolah Kebangsaan (SK), 616 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 367 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Dari 1,302 buah SJKC di seluruh negara, 616 buah atau 47.3% mempunyai murid kurang daripada 150 orang.

Mengulas perkara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, KPM wajar melakukan unjuran penggabungan atau perpindahan murid ke sekolah berdekatan.

Sekiranya KPM membuat keputusan untuk menutup sekolah berkenaan, ia perlu dibuat dengan profesional dan sistematik tanpa mengeruhkan keadaan lagi.

Beliau berkata, pembinaan sesebuah sekolah perlu mengambil kira aspek pembangunan sesuatu kawasan dan pertambahan penduduk.

Pemindahan lokaliti sekolah contohnya dahulu SJKT wujud disebabkan ada estet, namun berlalu masa, masyarakat India berhijrah dari pekerjaan estet kepada sektor lain.

“Ini menyebabkan kekurangan penduduk setempat dari bangsa India dan mengakibatkan kekurangan murid india di SJKT.

“Begitu juga SJKC dahulu disebabkan faktor perlombongan, namun sekarang ramai yang berpindah ke bandar- bandar besar.

“Justeru, perlu melihat faktor migrasi kerja dengan penempatan penduduk serta kewujudan sekolah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Atas dasar itu, Ustaz Mohd Azizee melihat penggabungan SJKC dan SJKT ke SK wajar dilihat sebagai sebuah sekolah berwajah nasional.

Beliau melihat permasalahan ini juga dilihat mampu mengurangkan kos penyelenggaran.

Ini sekali gus dapat memberi tumpuan kepada sekolah-sekolah ramai murid dengan dilengkapkan pelbagai kemudahan dan infrastruktur.

“Permasalahan ini wajar ditangani dengan sebaik-baiknya demi penjimatan kos dan efisyen pendidikan,” katanya

Beliau berkata, sikap profesional perlu ditonjolkan KPM dalam menangani kebimbangan sesetengah guru yang mendakwa akan hilang perjawatan sekiranya berlaku perpindahan atau penggabungan sekolah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button