Berita Utama

MKT UMNO belum bincang isu 27 kerusi kritikal

'Saya kurang pasti mengenai kerusi itu kerana belum tengok lagi lokasi'

BANGI, 13 Safar 1444H, Sabtu – Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, isu 27 kerusi pilihan raya yang dianggap kritikal, belum dibincangkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO

“MKT belum buat sebarang perbincangan atau pemakluman berkaitan 27 kerusi Parlimen yang didakwa kritikal itu hingga memerlukan kerjasama atau perbincangan di antara UMNO dan PAS.

“Saya tak tahu ada 27 kerusi perlukan rundingan dan saya kurang pasti mengenai kerusi itu kerana belum tengok lagi lokasi kerusi,” kata Timbalan Presiden UMNO itu.

Beliau memberitahu, perkara yang dilakukan sekarang adalah turun ke negeri-negeri melihat kesiapsiagaan jentera untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Hari ini, saya akan ke Sabah. Sebelum ini, Pahang menjadi negeri terakhir di Semenanjung untuk saya lihat kesiapsiagaan jentera parti.

“Setakat ini tahap kesiapsiagaan jentera parti adalah baik,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya menerusi Perikatan Nasional (PN) sedia berunding dengan BN dalam menentukan hala tuju 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal pada PRU-15 bagi mengelakkan pertembungan.

“Kerusi ini memang memerlukan rundingan dengan BN dan sekiranya muafakat politik ini dapat dibuat, kita jangka kawasan itu dapat dimenangi semula sebagai contoh kerusi Parlimen Raub dan Bentong,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan, keputusan rundingan membabitkan 27 kerusi terbabit, termasuk kemungkinan memerlukan kerjasama UMNO dan PAS, akan diputuskan menerusi MKT tidak lama lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button