Zuraida dakwa tiga MP, dua ADUN akan lompat masuk PBM
PBM sasar tujuh kerusi Parlimen dan tujuh DUN

BANGI, 13 Safar 1444H, Sabtu – Tiga Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) didakwa akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden Pengganti PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin mendedahkan, penyertaan itu akan menjadikan tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN disandang PBM akan dipertahankan pada PRU akan datang.
“Saya sudah katakan PBM akan bertanding tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN, semuanya melibatkan calon ‘incumbent’ (penyandang). Insya-Allah kita sasar tujuh kerusi Parlimen dan tujuh DUN.
“Sekarang ada empat (kerusi Parlimen), insya-Allah akan ada (tambah) lagi tiga. Sama juga dengan ADUN, sekarang sudah ada lima, iaitu tiga di Perak, dua di Selangor dan insya-Allah, dua lagi akan datang,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti wakil rakyat yang akan menyertai parti berkenaan.
Zuraida yakin penyertaan ahli parti tersebut akan bertambah dan parti berbilang kaum yang bermatlamat untuk mengubah landskap politik negara menjadi stabil dan harmoni.
“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia dikenali dengan identiti Bangsa Malaysia dan bukan lagi mengikut latar belakang kaum dan ini adalah keunikan parti ini yang diterajui masyarakat berbilang kaum.
Ketika ini, PBM diwakili Zuraida sendiri mewakili Parlimen Ampang, selain Larry Sng (Julau), Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau) dan Datuk Dr Mohamadin Ketapi (Lahad Datu) di Dewan Rakyat.
Lima ADUN parti itu pula adalah dua di Selangor, iaitu Haniza Talha (Lembah Jaya) dan Dr Daroyah Alwi (Sementa), selain tiga di Perak, iaitu Leong Cheok Keng (Malim Nawar), A Sivasubramaniam (Buntung) dan Paul Yong Choo Kiong (Tronoh).