Berita Utama

BN janji tak balas dendam pada sesiapa jika menang PRU15

Zahid yakin BN akan berkuasa semula secara dominan

BANGI, 14 Safar 1444H, Ahad – Barisan Nasional (BN) berjanji tidak akan membalas dendam kepada mana-mana pihak sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan membalas dendam tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

Bahkan, beliau yang kini berdepan pertuduhan di mahkamah mendakwa, parti itu juga tidak mempunyai sifat dendam terhadap sesiapa.

“Membalas dendam tidak menguntungkan sesiapa tetapi yakinlah biar rakyat yang menghukum mereka yang membalas dendam itu.

“Jika PRU15 pemimpin-pemimpin itu ditolak, ia daripada rakyat kepada orang bersifat dendam itu,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Menurut Ahmad Zahid, beliau yakin BN akan berkuasa semula secara dominan dalam bidang politik negara ini pada PRU15 nanti, setelah berdepan kekalahan kali pertama pada 2018 lalu.

Tahun 2018 menyaksikan perubahan landskap politik negara apabila buat pertama kali selepas lebih enam dekad mentadbir negara, BN gagal mengekalkan kuasa mereka.

Perubahan kepada tampuk pemerintahan itu menyaksikan banyak pemimpin daripada BN yang diheret ke mahkamah atas pelbagai tuduhan salah laku dan penyelewengan, selaras dengan janji Pakatan Harapan (PH) sebelum memenangi pilihan raya.

Bukan hanya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak – yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun -, Ahmad Zahid juga antara pemimpin yang sedang berdepan pendakwaan di mahkamah.

Beliau berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button