Berita UtamaDunia

Pelajar perempuan Afghanistan bantah sekolah ditutup lagi

Taliban beri jaminan sekolah dibuka selepas kurikulum Islam dibentuk

GARDEZ, 14 Safar 1444H, Ahad – Pelajar perempuan di timur Afghanistan mengadakan bantahan selepas pihak berkuasa Taliban menutup semula sesi persekolahan bagi peringkat menengah, hanya beberapa hari selepas dibuka.

Minggu lalu, lima buah sekolah menengah di wilayah Paktia di timur negara itu membuka semula sesi persekolahan selepas ratusan pelajar perempuan menuntut untuk ke sekolah.

Aktivis wanita yang dikenali Yasmin dan mengetuai bantahan berkata, pelajar-pelajar perempuan di bandar Gardez diminta pulang ke rumah semula selepas tiba di pekarangan sekolah.

Dengan memakai uniform sekolah- bertudung putih dan berkain hitam, kesemua pelajar perempuan berarak di tengah Gardez sebagai tanda bantahan.

Bagaimanapun, Taliban tidak membenarkan sesiapa merakam bantahan dan melarang pihak media membuat liputan.

Sejak mengambil alih pentadbiran negara Ogos tahun lalu, Taliban mengenakan sekatan ketat kepada pelajar perempuan dan kaum wanita di negara itu untuk mematuhi peraturan ketat – sekali gus menjejaskan kehidupan golongan berkenaan.

Mac lalu, Taliban menutup semula semua sekolah menengah perempuan selepas beberapa hari pembukaan, buat pertama kalinya di bawah pentadbirannya.

Malah pentadbiran Taliban mengekalkan larangan itu sebagai isu teknikal namun memberi jaminan persekolahan akan dibuka semula apabila kurikulum berdasarkan perundangan Islam selesai dibentuk. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button