Artikel Khas

Perbelanjaan isi rumah – antara dua darjat

Kalimah Rahmah patut diselamatkan dari menjadi alat propaganda pemerintah

RM136.30 memang ‘kacang saja’ untuk belanja dapur seorang Ahli Parlimen sebab beliau menikmati bermacam-macam elaun kayangan yang di luar jangkauan rakyat biasa.

Di saat golongan fakir miskin dan rakyat biasa berpendapatan rendah terpaksa bergelut dengan tekanan/kos sara hidup dan harga barangan runcit yang semakin melangit serta masa depan yang tidak menentu, seorang ahli Parlimen (apatah lagi menteri) menikmati pelbagai elaun dan keistimewaan yang luar biasa.

Elaun dan keistimewaan ini merangkumi perbelanjaaan-perbelanjaan asas seperti sewa rumah, telefon, pembantu rumah, kenderaan dan pakaian rasmi. Kemudian, terdapat juga elaun tetap bulanan sebagai wakil rakyat, menghadiri mesyuarat dan persidangan di Parlimen.

Sekiranya beliau tidak lagi menjadi wakil rakyat, pencen bulanan sudah tersedia untuk setiap ahli Parlimen seumur hidup. Belum dicampur lagi gaji, elaun dan imbuhan sebagai Pengerusi atau pegawai-pegawai penting (melalui lantikan politik) mana-mana syarikat kerajaan (GLC), atau agensi atau perbadanan negeri.

Berapa puluh (atau ratus) ribu agaknya ‘ghanimah’ yang seseorang ahli Parlimen itu akan nikmati sepanjang menjadi wakil rakyat dan sesudah itu? Para pembaca boleh bayangkan sendiri.

Atas ihsan dan pengorbanan siapakah mereka semua dapat menikmati ‘longgokan harta karun’ itu, kalau bukan dari rakyat juga?

Bagaimana mereka dapat mendakwa dan membanggakan diri dengan angkuh kononnya mereka dapat menyelami denyut nadi golongan marhain, pekerja-pekerja kilang, buruh kasar, petani, peladang, pesawah, pekebun, orag-orang kampung, kakitangan awam dan para gelandangan?

Apakah mereka turut merasai kesengsaraan dan penderitaan hidup sesebuah keluarga miskin yang ramai anak, yang tidak ada pendapatan tetap, kais pagi makan pagi, bersekolah biasa dan pakai minum tidak menentu dan hidup atas ihsan dan bantuan zakat, jabatan kebajikan masyarakat, derma dan bantuan orang ramai?

Rakyat biasa tidak ada keinginan untuk beli beras import atau menikmati juadah di luar pun kerana di dalam rumah sendiri hampir kebulur!

Tidaklah keterlaluan kalau rakyat menggelar mereka sebagai hipokrit dan parasit yang mengeksploitasikan kalimah ‘demi rakyat’ untuk mengkayakan diri sendiri dan keluarga masing-masing dalam memburu Kerusi dan kuasa.

Bagaimanapun, tidak dinafikan juga terdapat ramai ahli Parlimen yang menjadikan diri mereka sebagai khadam kepada rakyat dan penggalas amanah secara jujur dan ikhlas. Kuasa hanyalah satu ‘beban’ yang akan dipertanggungjawabkan satu hari kelak manakala kedudukan sebagai ahli Parlimen hanyalah satu manifestasi dari pengabdian kepada Pencipta dan segala keistimewaan yang dinikmati mudah sahaja dikorbankan untuk maslahat, kepentingan dan kebajikan rakyat dan umat.

Akan tetapi, realitinya wakil-wakil rakyat yang berwibawa ini juga seringkali dinafikan hak mereka untuk berkhidmat dan membawa kebajikan kepada masyarakat yang diwakili hanya kerana mereka berada di blok yang tidak sehaluan dengan pihak pemerintah. Di sinilah berlakunya penindasan dan diskriminasi terhadap rakyat sendiri tanpa rasa belas kasihan dan peri kemanusiaan.

Adakah wakil-wakil rakyat yang lain merasa terpanggil untuk membantu rakan sejawat mereka yang dinafikan hak-hak tersebut?

Di manakah suara mereka semua? Bercuti dan sedang makan angin di luar negarakah?
Banyak pihak telah menyuarakan dan saya akan ulang seruan yang sama: Supaya pencen setiap ahli Parlimen ditamatkan sebaik-baik sahaja tamat tempoh seseorang ahli Parlimen berkhidmat atau sebaik-baik sahaja Parlimen dibubarkan. Mulakan dengan Perdana Menteri.

Tamatkan juga (atau berhentikan saja) jawatan-jawatan lantikan politik di dalam mana-mana GLC, agensi dan mana-mana Kementerian selama mereka menjadi ahli Parlimen. Tarik balik semua kemudahan, elaun dan keistimewaan sebagai wakil rakyat.

Berikan kursus-kursus kemahiran sekiranya mereka tidak lagi tahu atau terlupa bagaimana untuk hidup sebagai rakyat biasa.

Negara boleh menjimatkan berbillion-billion ringgit dengan langkah-langkah penjimatan ini. “Walk the talk”!

Aksi lakonan berbelanja tidak sampai RM150.00 untuk membeli sekelumit barang-barang keperluan dapur hanyalah satu peremehan terhadap kemampuan berfikir rakyat atau dalam bahasa Inggerisnya “an insult to the intelligence”.

Selagimana ahli-ahli Parlimen masih menikmati 1001 kemudahan, elaun dan keistimewaan (meskipun tidak buat kerja apa pun selain melalak dan menjerit-jerit di dalam Dewan Rakyat) walaupun selepas bersara, maka segala kata-kata, kenyataan dan ucapan mereka tentang kemiskinan, penderitaan, kesengsaraan, pengorbanan, simpati dan kemanusiaan boleh sahaja ditongsampahkan.

Kalimah Rahmah juga patut diselamatkan dari menjadi alat propaganda pemerintah. Mereka bahkan tidak layak bercakap tentang akhlak dan moral. Meletak jawatan adalah tindakan paling terhormat!

Mohd Luttfi Abdul Khalid
Penasihat Persatuan Ikatan Sivil Dan Syariah Malaysia (iPeguam)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button