Berita Utama

Pelitup muka: Ibu bapa, sekolah masih perlu main peranan

Pastikan aspek keselamatan, kesihatan murid tetap diutamakan: iGuru

BANGI, 14 Safar 1444H, Ahad – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) akur dengan pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin bahawa pelitup muka tidak lagi diwajibkan dalam kalangan murid di sekolah.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan yakin keputusan itu dibuat berdasarkan maklum balas dan talimat terkini daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun, beliau masih berharap supaya pihak ibu bapa dan pentadbiran sekolah memainkan peranan bersama bagi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan murid tetap diutamakan.

Ini termasuklah, jika terdapat murid yang bergejala untuk mereka kekal menjaga kesihatan dan keselamatan diri dengan memakai pelitup muka di sekolah.

“Apa yang penting keselamatan diri adalah tanggungjawab sendiri, kita jaga kita meskipun ia tidak mewajibkan lagi berdasarkan situasi semasa.

“Perhatian ibu bapa kepada tahap dan keselamatan anak penting kerana ibu bapa sahaja yang tahu akan kesihatan dan keselamatan anak,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Justeru, beliau menyarankan ibu bapa untuk sentiasa memastikan anak-anak mereka memakai pelitup muka di dalam bas dan van sekolah atau ketika berada di tempat tertutup.

Selaras kelonggaran diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM), Mohd Azizee berkata, tanggungjawab keselamatan itu kini terletak pada diri murid serta kawalan pemantauan pihak ibubapa dan sekolah.

Semalam, KPM membuat keputusan untuk tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam atau di luar sekolah.

Namun, Mohd Radzi memaklumkan bahawa pemakaian pelitup muka di kawasan sekolah ketika ini adalah mengikut pilihan masing-masing.

Berita berkaitan;

Pelitup muka tak lagi wajib di sekolah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button