Berita Utama

Produk Soft Candy With Jam guna logo halal tak diiktiraf

Kemukakan aduan kepada Jakim jika jumpa di pasaran

BANGI, 14 Safar 1444H, Ahad – Logo halal yang digunakan pada produk manisan Soft Candy With Jam disahkan tidak diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Perkara itu dimaklumkan di Facebook Bahagian Hab Halal Jakim hari ini susulan menerima banyak pertanyaan daripada pengguna media sosial berkaitan status halal produk berkenaan yang tidak dinyatakan alamat pengeluar sebenar.

Katanya, ini rentetan terdapat maklumat mendakwa kandungan bahan mentah produk itu mengandungi ramuan tidak halal iaitu gelatin babi pada label pembungkusan produk.

“Pada produk tersebut juga tertera logo Halal Food Council International Malaysia & Asia Region dan ia telah mengundang keresahan dan salah faham masyarakat terhadap pensijilan halal Malaysia.

“Untuk makluman semua, produk tersebut telah menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh Jakim,” katanya.

Justeru, katanya, penggunaan logo halal itu menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dikenakan tindakan melalui peruntukan perundangan berkaitan di negara ini.

“Pengguna muslim dinasihatkan untuk tidak memilih produk berkenaan dan meneliti terlebih dahulu label bungkusan produk sebelum melakukan sebarang belian dan transaksi.

“Pengguna yang menjumpai produk tersebut di pasaran dinasihatkan mengemukakan aduan lengkap dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa iaitu Jakim melalui e-mel [email protected] atau pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui e-mel [email protected]/http://e-aduan.kpdnhep.gov.my,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button