Berita Utama

Enakmen Syariah terkesan jika jenayah pikat isteri orang dinormalisasi

Satu lagi usaha jayakan agenda liberal konon atas dasar hak asasi

BANGI, 15 Safar 1444H, Isnin – Negara kini berdepan satu lagi usaha untuk menjayakan agenda liberal apabila terdapat cubaan menormalisasikan jenayah memikat isteri orang – kononnya atas dasar hak asasi dan kebebasan individu.

Ini susulan tindakan seorang bekas anggota polis memfailkan permohonan bagi mendapatkan deklarasi bahawa kesalahan memikat wanita yang sudah berkahwin dengan niat melakukan persetubuhan terlarang, bercanggah dengan Perlembagaan.

Individu terbabit mendakwa, peruntukan di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan itu melanggar Perkara 5(1) dan 8(1) dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut peguam, Mohd Luttfi Abdul Khalid, sekiranya permohonan rayuan lelaki terbabit diluluskan mahkamah, maka perbuatan memikat isteri orang bukan lagi jenayah dan pelaku tidak akan dihukum.

Bahkan, sekiranya permohonan itu berjaya, ia bakal memberi kesan ke atas peruntukan-peruntukan enakmen Syariah negeri kerana undang-undang Parlimen (Akta) akan mengatasi enakmen atau undang-undang negeri.

“Perbuatan yang sama juga satu jenayah di bawah enakmen Syariah. Jadi, ia akan memberi kesan kepada kedaulatan undang-undang Syariah di peringkat negeri juga.

“Kesannya, masyarakat tidak akan cakna lagi terhadap jenayah ini kerana telah ‘decriminalised’ dan lama kelamaan ia akan jadi satu amalan yang diterima/normalised (macam aktiviti homoseksual di UK),” katanya.

Beliau juga gusar terhadap keadaan sebuah institusi rumah tangga apabila orang asing atau pihak ketiga begitu mudah merosakkan keharmonian suami isteri tanpa ada rasa bersalah.

“Saya berpandangan bahawa mesej tersirat yang ingin disampaikan melalui permohonan ini (sekiranya berjaya) ialah tidak mengapa bagi seseorang lelaki cuba merosakkan hubungan sepasang suami isteri, tidak mengapa bagi seorang lelaki ‘meruntuhkan’ institusi keluarga yang terhormat.

“Tidak mengapa untuk mempermainkan maruah seorang wanita yang bergelar isteri dan tidak mengapa melakukan jenayah yang menyasarkan isteri orang… kerana perbuatan tersebut akan dilindungi undang-undang,” katanya.

Justeru, beliau berharap supaya mahkamah tidak meraikan percubaan untuk menormalisasi perbuatan jenayah atau membuka ruang dan peluang kepada cubaan sama demi menyelamatkan masyarakat daripada virus songsang.

“Kita bimbang sekiranya mahkamah membenarkan rayuan untuk menormalisasikan perbuatan jenayah atas hujah hak asas dan kebebasan individu serta diskriminasi, maka tidak ada lagi yang akan menghalang 1,001 perbuatan-perbuatan diklasifikasikan sebagai jenayah dari diterima sebagai sesuatu normal bagi masyarakat dan rakyat.

“Sekali lagi, kita menaruh harapan yang tinggi supaya mahkamah dan sistem kehakiman negara menolak permohonan toksik demi memelihara tunjang akhlak yang dihayati oleh masyarakat selama ini,” katanya.

BACA PENUH ULASAN MOHD LUTTFI DI RUANGAN PENDAPAT ISMAWEB.NET

Percubaan menormalisasi jenayah memikat isteri orang

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button