Dunia

Israel tangkap 607 rakyat Palestin setakat Ogos

Tangkapan terbesar berlaku di Baitulmaqdis dengan 148 orang

RAMALLAH, 15 Safar 1444H, Isnin – Pasukan pengganas Israel menangkap 607 rakyat Palestin dari wilayah yang diduduki termasuk 59 kanak-kanak dan 13 wanita setakat bulan lalu.

Jumlah terkini itu didedahkan Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan, Kelab Tahanan Palestin, Persatuan Sokongan Tahanan dan Hak Asasi Manusia Addameer dan Pusat Maklumat Wadi Hilweh dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu berkata, jumlah tangkapan terbesar berlaku di bandar Baitulmaqdis yang diduduki setiap bulan, diikuti Hebron, Bethlehem dan Jenin.

Katanya, bulan Ogos menyaksikan sejumlah besar pelanggaran dan jenayah dilakukan pasukan pendudukan Israel, termasuk dasar hukuman kolektif serta pelaksanaan operasi penangkapan lebih teratur.

Pihak berkuasa pendudukan meneruskan pelanggaran dan tindakan balas mereka selepas memindahkan rakyat Palestin untuk siasatan serta ke pusat tahanan.

Pertubuhan-pertubuhan itu juga merekodkan pelbagai kecederaan yang dialami oleh tahanan, di mana beberapa daripadanya ditembak tentera rejim.

Mereka menyatakan bahawa terdapat kira-kira 4,650 tahanan Palestin di penjara Israel pada akhir Ogos, termasuk 32 wanita dan 180 tahanan bawah umur.

Katanya, seramai 743 tahanan pentadbiran juga direkodkan termasuk dua wanita dan empat kanak-kanak.

Kadar tangkapan tertinggi sepanjang Ogos adalah di Baitulmaqdis, di mana 148 rakyat Palestin ditangkap termasuk 30 kanak-kanak dan individu bawah umur serta tujuh wanita.

Ini diikuti 118 tangkapan di Hebron dan 96 lagi di Bethlehem.

Manakala, jumlah perintah tahanan pentadbiran yang dikeluarkan pada bulan itu mencapai 272 termasuk 143 perintah baharu dan 129 perintah pembaharuan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button