Berita Utama

Juruterbang helikopter hilang ditemui selamat

Hampir 200 pasukan keselamatan terlibat operasi SAR

BANGI,15 Safar 1444H, Isnin – Helikopter bersama juruterbang yang terputus hubungan sejak semalam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ditemui selamat pagi ini.

Perkara itu disahkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong selepas dimaklumkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Saya dimaklumkan juruterbang helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur semalam ditemui selamat di lokasi nahas sekitar Bidor jam 8.20 pagi tadi.

“Setinggi penghargaan diucapkan kepada pasukan TUDM, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta semua yang terbabit dalam SAR ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketika ini, katanya, pasukan penyelamat sedang berusaha untuk membawa juruterbang tersebut ke Hospital Ipoh untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, sebanyak 10 anggota dan 197 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Jabatan Perhutanan, SMART Team terbabit dalam operasi pencarian.

“Selain itu, ia turut disertai unit dron, Pasukan Sukan Udara, Kelab Paramotor Sitiawan. Operasi pencarian turut dibantu satu helikopter daripada unit udara PDRM,” katanya.

Penerbangan helikopter Eurocopter EC120B dengan pendaftaran N409HH milik syarikat swasta itu dilaporkan gagal dihubungi KLATCC pada pukul 12.16 tengah hari semalam.

Helikopter yang dikendalikan seorang juruterbang dipercayai bukan warga tempatan itu berlepas dari Subang pada pukul 11.37 pagi dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh pada pukul 12.37 tengah hari.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button