Artikel Khas

Mampukah UMNO jinakkan ultra kiasu DAP?

Terlalu terdesak hingga lupa 'dosa-dosa besar' DAP begitu saja

Kalau dahulu No DAP, sekarang Yes DAP. Kalau dahulu semua berkaitan DAP ‘haram’, sekarang jadi ‘halal’. Pusingan U sebegini berlaku hanya sekelip mata. Begitu cepat melupakan ‘dosa-dosa besar’ DAP. Mampukah DAP dijinakkan?

Kalaulah Dato’ Onn Jaafar masih hidup, sudah lama ditamparnya muka pemimpin UMNO yang menyeru ahlinya mengundi DAP.

Sekian lama, UMNO melihat DAP sebagai wajah ‘kafir penentang Islam’ tiba-tiba tergamak pemimpin UMNO menyeru ahlinya memangkah DAP.

Apakah UMNO terlalu terdesak sehingga terpaksa menyeru sedemikian rupa? Apakah UMNO sudah lupa tujuan DAP ditubuhkan? Jika UMNO (Melayu) mudah lupa, biar saya ingatkan.

Pertama, DAP yang ditubuhkan pada 1966, adalah anak butir PAP. Konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan sejak dari mula ia ditubuhkan, hingga ke hari tidak pernah pudar, tidak pernah luntur walaupun sedikit, tetapi semakin tegar. Mampukan UMNO jinakkan DAP dengan Malaysian Malaysianya?

Malaysian Malaysia bermaksud, sama rata dan sama rasa. Dalam kata lain, perjuangan DAP ini bercanggah dengan perjuangan UMNO yang meletakkan Islam dan Melayu di tempat yang tinggi.

Kedua, perlu ingat, bukan setakat perjuangan Malaysian Malaysia bertentangan dengan perjuangan UMN, malah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mendaulatkan kedudukan hak Islam, Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak. Ultra kiasu DAP tahu semua ini, kenapa terus tegar dengan Malaysian Malaysia?

Ketiga, dalam Deklarasi Setapak DAP jelas menyatakan, “kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip inilah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok Bumiputera dan bukan Bumiputera ditentang”. Kalau tidak faham lagi, inilah makna Malaysian Malaysia. Sama rata dan sama rasa bukan sahaja dalam konteks hak ekonomi, tetapi juga agama, termasuk pluralisme agama.

Keempat, berkaitan dengan Malaysian Malaysia tersebut, DAP adalah antara parti yang terkehadapan menyuarakan supaya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Inilah Malaysian Malaysia.

Kelima, DAP memperjuangkan negara sekular. Baca perlembagaan DAP baik-baik, berapa kali perkataan sekular itu disebut dalm perlembagaannya. DAP tidak pernah mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam, “langkah mayat aku” katanya. Sekular bermaksud, pemisahan antara politik dan agama, sedangkan DAP tahu bahawa Islam dan politik, tidak dapat dipisahkan, kenapa terus tegar memperjuangkan sekularisme? Kenapa tergamak pemimpin UMNO menyeru ahlinya mengundi DAP?

Keenam, suatu ketika dahulu, DAP pernah mengeluarkan kenyataan bahawa khutbah Jumaat disediakan JAKIM sebagai menyebarkan kebencian dan mencabar usaha ke arah keharmonian. Kenyataan ini tidak pernah ditarik balik. Amat jarang sekali DAP menarik balik kenyataan mereka berkaitan Islam dan meminta maaf.

Ketujuh, selain itu, sering kedengaran kenyataan DAP menghina Islam, contoh, suatu ketika dahulu, DAP menyamakan pemberian duit raya sama seperti rasuah atau dedak. Bagaimana pula dengan pemberian ‘ang pow’? DAP yang didominasi orang Cina sendiri, tidak memahami budaya pemberian ‘ang pow’ mereka.

Kelapan, apakah kita sudah lupa pemimpin DAP menggelar Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’. DAP mendesak kerajaan supaya menghantar Zakir Naik balik ke India untuk dihukum. Pemimpin DAP ini juga adalah pemuja dan penyokong tegar pengganas, LTTE.

Jika PAS yang memperjuangkan Islam dilabelkan sebagai Taliban? Ini bukan sahaja label, malah terang-terang menyokong pengganas LTTE?

Kesembilan, sudah kita lupa apabila pemimpin DAP pernah menghina almarhum Tuan Guru Haron Din ketika kematiannya, dengan ungkapan ‘adios Harun Din’.

Kesepuluh, pemimpin DAP mempersoalkan laungan azan dan bacaan ayat suci al-Quran menerusi pembesar suara masjid. Kontroversi azan baru-baru di Pulau Pinang, ada dengar DAP berkata berkaitan hak umat Islam untuk azan menggunakan pembesar suara?

Kesebelas, pemimpin DAP mempersoalkan larangan murtad. Cuba baca kenyataan pemimpin-pemimpin mereka, tidak perlu saya jelas di sini. Pemimpin mereka juga paling tegar dengan kempen jom ziarah gereja.

Kedua belas, DAP menghina dan mempersendakan hukum hudud. DAP juga antara yang menentang keras RUU355.

Ketiga belas, DAP juga menentang ustaz-ustazah dari Semenanjung dihantar ke Sarawak.

Keempat belas, cuba tanya DAP pandangan mereka tentang penggunaan kalimah Allah. Pandangan DAP tidak banyak beza dengan musuh Islam yang lain.

Kelima belas, cuba lihat pemimpin DAP ketika bercakap menggunakan bahasa negara, Bahasa Melayu, berapa ramai yang boleh bercakap dengan baik atau fasih. Jangan pergi jauh, lihat percakapan mereka di Parlimen yang akan bersidang tidak lama lagi, termasuk Timbalan Speaker mereka.

Keenam belas, DAP adalah pejuang tegar sekolah vernakular dan sekolah persendirian Cina berasaskan kaum, sehingga ramai pemimpin dan ahli mereka tidak dapat bertutur bahasa kebangsaan dengan baik.

DAP selalu berkata, mereka mendaulatkan agenda hidup bernegara. Jika benar, sudah tentu, mereka menguasai agenda hidup bernegara seperti bahasa Melayu.

Sebenarnya banyak lagi contoh betapa DAP tidak begitu senang dengan sejarah negara ini yang mendaulatkan Islam dan Melayu. Ini belum termasuk komik Superman Hew dan strategik Kristian Avangelis dalam DAP.

Justeru, tidak usahlah pemimpin UMNO terus memuja DAP dan memaksa ahlinya mengundi DAP. Hentikanlah.

Ahli UMNO yang saya kenali, terlalu sukar untuk ubah persepsi atau imej mereka terhadap DAP. Sejarah ‘hitam’ DAP tetap terpahat dalam sanubarinya sampai bila-bila. Ia tidak boleh disucikan sekelip mata. Tunggulah lama sikit, kalau mahu pun disucikan.

Kenapa hari ini DAP agak lunak dan mesra Islam? Sebab mahu menjaga hati UMNO, agar UMNO kekal dalam PH buat sementara menunggu PRN tidak lama lagi. Kalau DAP berani, cuba berlagak seperti dahulu? Apakah itu beerti DAP sudah berubah? Kita tunggu…

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button