Berita Utama

Kuasa prerogatif pengampunan tidak boleh dilaksana sewenangnya: Sultan Selangor

Perlu ikut lunas undang-undang, prosedur diperuntuk di bawah Perlembagaan

BANGI,15 Safar 1444H, Isnin – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, kuasa prerogatif pengampunan tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.

Baginda menzahirkan sokongan terhadap titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan perkara berkenaan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, baginda bertitah, rakyat seharusnya memahami proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan serta undang-undang berkaitan dengannya.

“Rakyat juga perlu sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman yang menjadi teras dan paksi kepada kedaulatan sistem demokrasi raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

“Perlembagaan Persekutuan meletakkan martabat institusi kehakiman di tahap yang tinggi sebagai sebuah badan kehakiman yang bebas serta berwibawa dan ia benteng terakhir yang perlu dipertahankan bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” titah baginda, hari ini.

Pada masa sama, titah baginda, supaya rakyat mengambil maklum bahawa Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri.

“Proses lantikan seseorang hakim yang perlu melalui proses yang teliti. Ini menunjukkan badan kehakiman berbeza dengan institusi-institusi kerajaan yang lain dan menggambarkan betapa pentingnya peranan badan kehakiman dalam sistem pentadbiran negara,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah lagi, kebebasan kehakiman membawa pengertian para hakim yang mengadili sesuatu kes dapat mentafsirkan undang-undang bersandarkan semata-mata kepada fakta dan keterangan tanpa rasa takut, pilih kasih dan bebas daripada sebarang pengaruh tidak diingini.

Titah baginda, seorang hakim telah mengangkat sumpah untuk mengamalkan kesamarataan, memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan serta bebas dari segala bentuk tekanan dalaman dan luaran.

“Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa semua rakyat adalah sama rata di sisi undang-undang. Ini bermakna bahawa rakyat tidak mengira status, jawatan, bangsa dan keturunan adalah tertakluk dan bertanggungjawab kepada undang-undang yang sama.

“Setiap rakyat di negara ini berkehendakkan keadilan, kesaksamaan serta ketelusan daripada badan kehakiman atas sesuatu kes yang diadili. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa memelihara nama baik badan kehakiman agar ia tidak tercemar daripada sebarang bentuk pengaruh dan tekanan,” titah baginda.

Dalam titah kenyataan itu, baginda turut mengingatkan pihak Eksekutif agar sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak daripada sebarang cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran keadilan badan kehakiman.

Titah baginda, kebebasan badan kehakiman memerlukan sokongan, dokongan, kefahaman dan iltizam dari semua pihak terutama pihak Eksekutif.

“Sehubungan, beta menyeru semua pihak berganding bahu dengan mengambil langkah-langkah ke arah mempertahankan dan menjamin kebebasan badan kehakiman demi kesejahteraan dan kemakmuran negara,” titahnya.

Malah, rakyat disaran supaya memberi sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman negara tanpa perlu melemparkan tohmahan yang tidak berasas tanpa mengetahui fakta dan alasan-alasan penghakiman terhadap sesuatu kes.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button