Berita Utama

PEMBELA syor kerajaan tuntut kembali artifak ‘dicuri’ British

Ribuan manuskrip dan artifak dari Tanah Melayu kini dalam simpanan

BANGI, 15 Safar 1444H, Isnin – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mencadangkan kerajaan mempertimbangkan mengikut jejak langkah beberapa negara yang pernah dijajah untuk menuntut kembali artifak ‘dicuri’ British pada zaman penjajahan dahulu.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, masyarakat antarabangsa khususnya negara bekas tanah jajahan sudah mula menuntut kembali artifak ketika zaman British ‘rakus’ mengambil hasil mahsul seluruh pelusuk dunia.

Beliau merujuk usaha negara India dan Afrika yang menuntut berlian pada mahkota mendiang Ratu Elizabeth II dipulangkan.

“Contohnya, dikatakan sudah ada usaha dari negara India dan Afrika mula menuntut agar berlian pada mahkota mendiang Ratu Elizabeth itu dipulangkan kembali hasil dari aktiviti merompak dan menyamun besar-besaran satu ketika dahulu.

“Malah dipamerkan pula dengan penuh megah sebagai perhiasan ratu. Hina sungguh British keparat ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Aminuddin, beliau difahamkan ribuan manuskrip dan artifak dari Tanah Melayu masih ada pada simpanan kerajaan British.

“Sampaikan kita pula perlu ke sana untuk membuka semula manuskrip kita untuk rujukan sejarah, undang-undang dan sebagainya.

“Manuskrip dan artifak lampau ini sangat penting buat kita kerana di situ banyak terkandung bukti kemegahan tamadun kita yang sebenarnya mampu menukar naratif kenegaraan kita keluar dari apa yang dasarkan oleh pihak kolonial dahulu,” katanya.

Ini kerana sehingga kini, beliau berkata, orang Melayu sentiasa dimomokkan sebagai bangsa yang tiada tamadun dan hanya mampu menceduk tamadun lain sahaja.

Katanya, sehinggakan undang-undang juga perlu merujuk amalan lampau negara lain.

“Ya, memang banyak tinggalan dan asas yang didasarkan oleh pihak kolonial terutamanya British yang telah kita berjaya ubah tetapi hakikatnya itu hanyalah sebahagian kecil dari sepatutnya.

“Bayangkan, kalau kita ada lebih banyak rujukan dan bukti yang boleh menjadi asas serta pemangkin kepada segala perubahan itu,” katanya.

Justeru, beliau percaya ianya ada pada artifak dan manuskrip lampau yang bertebaran di serata dunia khususnya di Barat dan bukan sahaja di United Kingdom (UK).

“Itu apa yang zahir, yang ada dalam muzium-muzium atau arkib-arkib di London. Belum lagi sentuh mengenai apa yang disorokkan.

“Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan idea ini. Tidak pasti mungkin perlu juga desakan dari pakar-pakar sejarah tempatan dan bidang berkaitan serta rakyat marhaen juga untuk kerajaan bergerak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button