Pengerusi SUHAKAM dakwa tak pernah tentang Statut Rom
Namun anggap Malaysia belum sedia menandatangani perjanjian itu

BANGI, 15 Safar 1444H, Isnin – Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad – yang baharu dilantik pada Jun lalu – mendakwa beliau tidak pernah menentang Statut Rom.
Memetik laporan portal Malaysiakini, Rahmat mendakwa, tujuannya menulis kertas bantahan ratifikasi Malaysia kepada Statut Rom pada 2019 disebabkan persiapan yang diperlukan masih belum selesai ketika itu.
Dakwanya, tindakan itu menyebabkan salah faham pelbagai pihak kerana menganggap beliau menentang Statut Rom.
“Bukan begitu. Saya langsung tidak membantah empat jenayah besar itu,” katanya.
Rahmat mendakwa, keinginan Malaysia untuk dikenali sebagai negara mesra terhadap hak asasi manusia adalah tindakan wajar, namun beberapa proses perlu diberi perhatian terlebih dahulu sebelum menandatangani perjanjian antarabangsa itu.
Bagaimanapun, beliau bimbang apabila negara tidak menyelesaikan proses itu terlebih dahulu, maka beranggapan bahawa Malaysia belum bersedia menandatangani perjanjian berkenaan.
“Sekiranya kamu berpihak kepada Statut Rom, kamu mesti melindungi undang-undang tempatan. Apabila mereka umumkan, bukan terus terpakai.
“Dalam kes ini, kita perlu membawa ke Parlimen bagi memastikan peruntukan dalam Statut Rom boleh dilaksanakan,” katanya.
Memberikan contoh, beliau berkata, Kanun Keseksaan yang tidak ditakrifkan sebagai jenayah hak asasi manusia dan penghapusan etnik, yang adalah dua daripada empat jenayah antarabangsa difokuskan dalam Statut Rom.
Katanya, badan kehakiman perlu diberi pencerahan mengenai cara perjanjian itu diguna pakai, bahkan Majlis Raja-Raja juga hendaklah dirujuk dalam hal berkenaan.
“Jadi, adakah kita bersedia. Itu yang dibimbangkan dan sebab itu saya bantah.
“Sebab terlalu banyak perkara asas yang tidak dibentangkan sebelum menyatakan hasrat bahawa kita sudah bersedia,” katanya.
Pakatan Harapan (PH) ketika mengambil alih kerajaan pada pilihan raya 2018 mahu meratifikasi beberapa perjanjian antarabangsa termasuk Statut Rom.
Namun, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom, berikutan terlalu banyak kekeliruan, dan mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Raja-Raja Melayu.
Statut Rom yang telah diratifikasi oleh 123 negara adalah perjanjian untuk mewujudkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang memberi fokus terhadap penghapusan etnik, jenayah kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.
Tetapi, negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Russia dan China, serta India dan negara haram Israel menolaknya.
Selain itu, semua negara-negara jiran Malaysia iaitu Singapura, Indonesia, Brunei Darussalam dan Thailand juga tidak menerimanya.