PM arah KKM beri rawatan terbaik diperlukan Najib
Ismail Sabri doakan Najib diberi kesihatan yang baik

BANGI, 15 Safar 1444H, Isnin – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya memberikan rawatan terbaik yang diperlukan Datuk Seri Najib Razak.
Dalam kenyataan di Twitter, beliau mengambil maklum mengenai keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri – yang sedang menjalani hukuman penjara – berkenaan.
“Saya telah dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan Datuk Seri Najib Razak.
“Saya telah mengarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memberikan rawatan yang terbaik diperlukan beliau. Saya doakan beliau diberikan kesihatan yang baik,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Najib yang hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini, akan dirujuk ke Hospital Kajang kerana mengalami masalah kesihatan.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Najib akan dirujuk ke hospital ekoran ubat darah tinggi baharu yang diambilnya menyebabkan kesan teruk.
Sementara itu, KKM dalam kenyataan petang tadi mengesahkan Najib telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 9 September lalu sebagai kes elektif (bukan kecemasan) untuk memastikan kesihatan beliau berada pada tahap yang baik dan optimum.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemeriksaan dan ujian berkaitan telah dijalankan oleh pakar perunding kanan bertauliah terdiri daripada ketua-ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing.
Katanya, jenis-jenis ubat yang dipreskrib ketika kemasukan wad adalah sama jenisnya dalam senarai ubatan KKM, selain memaklumkan keadaan Najib juga sihat sebelum dibenarkan discaj dari HKL.