Artikel Khas

Rombak pendidikan SJKC, bukan sekadar ambil tindakan isu kurang murid

Pendidikan SJKC mesti bawa kepada pembinaan negara bangsa, bukan pembinaan bangsa

ISU sekolah kurang murid (SKM) bukan isu baharu, tetapi sudah lama, dibiarkan terus berpanjangan, sedangkan penyelesaiannya mudah sahaja, tutup, gabung atau pindah. Dalam kata lain, pembinaan sesebuah sekolah perlu mengambil kira aspek pembangunan sesuatu kawasan dan pertambahan penduduk.

Malangnya, masih tidak dibuat, negara terus tanggung kerugian. Bayangkan jika wang selenggara SKM itu digunakan bagi tambah baik kemudahan sekolah harian ramai murid dengan segala kelengkapan, berapa banyak sekolah yang boleh dimanfaatkan, tetapi semua itu tidak berlaku.

Sebab itu, saya tersenyum sahaja, apabila Kementerian Pendidikan melaporkan, terdapat 3,017 sekolah rendah di Malaysia adalah sekolah kurang murid (SKM) iaitu kurang daripada 150 pelajar pada satu-satu masa.

Jumlah itu melibatkan 2,034 Sekolah Kebangsaan (SK), 616 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) daripada 1302 dan 367 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) daripada 500 buah. Menutup SK jauh lebih mudah daripada menutup SJKC (T). Sama seperti merobohkan masjid surau lebih mudah daripada merobohkan rumah ibadat haram (kuil haram). Kenapa?

Ultra kiasu menentang sehebat-hebatnya. Mahukan semua sekolah itu diganti di kawasan yang lebih strategik jika mahu ditutup. Tutup jangan sekali.

Dahulu, SJKT dibina atas sebab ada estet. SJKC dibina sebab ada aktiviti perlombongan. Kini, selaras dengan peredaran masa, perpindahan dan pengecilan sumber, sekolah-sekolah tersebut telah menjadi kurang murid. Tidak revelan lagi, tetapi masih tidak boleh ditutup

Misalnya, SJKC Choon Hwa, Batu 18, Hulu Langat, cuma ada lebih kurang 20 murid, langsung tidak ada murid Cina. Kadangkala gurunya lebih ramai daripada murid. Apa keperluan terus mengekalkan SJKC ini? Tidak boleh tutup sebab tekanan sangat kuat daripada ultra kiasu. Walhal, ultra kiasu ini tidak undi pun parti yang memerintah kerajaan hari ini, undi mereka tetap kepada PH.

Saya semakin keliru, kerajaan takut dengan apa sebenarnya? Apa jua solusi KPM selalu tergendala apabila tindakan mahu diambil terhadap SJKC kurang murid.

Terbaharu, ultra kiasu minta kerajaan ganti SJKC kurang murid ke kawasn strategik dengan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Sampai bila kita mahu memperjudikan masa depan anak bangsa dengan menggantikan SJKC yang kurang murid ini, sedangkan pada masa masa, mereka mendesak SJKC dibina lebih banyak lagi di kawasan bandar. Ultra kiasu dapat semua, SKM SJKC mahu diganti, SJKC baharu terus didesak dibina setiap tahun.

Kerajaan mesti bertindak dan bertegas dalam soal Pendidikan. Jangan terlalu tunduk kepada tekanan politik, jika mahu membina negara bangsa. Kita sudah merdeka lebih 65 tahun. Beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Malaysia.

SJKC, bukan setakat tutup, sistem pendidikan SJKC perlu dirombak, disusun semula kurikulumnya sesuai dengan agenda membina negara. Jika kita serius dengan Keluarga Malaysia, ia harus diasaskan kepada pembinaan negara bangsa, bukan pembinaan bangsa.

Pertama, selamatkan wang negara dengan menutup, gabung atau pindah SKM tersebut. Tidak ada keperluan ganti seperti mana desakan ultra kiasu.

Kedua, seragamkan kurikulum semua subjek di SK dan SJKT (T) terutama dalam pembelajaran bahasa Melayu. Tidak ada lagi istilah, subjek BM SJKC jauh lebih mudah daripada SK. BM tahun 6 di SJKC seperti BM tahun 4 di SK. Hak mahu sama, tetapi kena kepada soal membina negara tidak boleh sama.

Ketiga, masa pengajaran dan pembelajaran BM di SJKC mesti ditambah. Setiap hari dalam jadual harian BM mesti diajar. Tidak boleh terhad kepada 180 minit seminggu, hanya tiga kali (period) seminggu.

Keempat, belajar BM mesti sepenuhnya dalam BM. Begitu juga dengan bahasa Inggeris (BI). Tidak timbul belajar BM (BI) perlu diterjemahkan dalam bahasa Cina. Kerajaan tidak boleh tunduk, guru yang mengajar BM (BI) mesti mendapat kredit subjek mandarin dalam SPM. Akibatnya, yang mengajar BM adalah guru Cina yang tidak layak.

Adakah layak guru Cina mengajar BM, jika percakapan yang keluar adalah bulung (burung), loli (lori), negala (negara). Cuba pergi dengar betul-betul murid-murid SJKC menyanyi lagi kebangsaan “negaraku”, mesti jadi “negalaku”. Guru Melayu disekat untuk mengajar BM di SJKC kerana tidak mengambil mandarin dalam SPM.

Dulu Timbalan Menteri Pendidikan MCA, kata BM SJKC sudah jauh lebih baik. Saya minta bukti, sampai sekarang tidak ada bukti diberikan. Jangan pergi jauh, carilah berapa ramai yang gagal dalam ujian BM yang kurikulum sangat mudah berbanding BM di SK.

Kelima, subjek sejarah di SJKC mesti diajar dalam BM, bukan diajar dalam bahasa Mandarin. Subjek sejarah ini mesti ajar oleh guru Melayu, bukannya guru Cina. Banyak penyelewengan fakta dibuat

Keenam, persekitaran SJKC mesti diMalaysiakan bukan dicinakan. Proses pencinaan di SJKC sangat bahaya kepada pembinaan negara bangsa. Apakah KPM tidak membuat pemantauan operasi di SJKC?

Pergilah duduk di SJKC dari pagi sampai petang, buatlah penyelidikan proses pencinaan tersebut. Jika KPM tidak mahu buat, beri dana untuk kami melakukan kajian

Ketujuh, KPM tidak usahlah terpedaya dengan alasan SJKC mendapat sambutan orang Melayu (16 peratus murid Melayu di SJKC), maka SJKC selari dengan pendidikan kebangsaan. Ini alasan lapuk. Murid Melayu masuk SJKC mereka sudah pandai BM. Masalah murid Cina SJKC langsung tidak tahu BM.

Masalah tidak akan selesai dengan hanya memberikan statistik SKM kurang murid. Apabila mahu ditutup SKM ini terutama SJKC, maka kita pun jadi kecut, perlu kepada kajian semula. Apa semua ini? Bertegaslah dalam Pendidikan, kerana ia adalah teras kepada pembinaan negara bangsa. Sampai bila mahu bertolak ansur dan berpolitik sebegini?

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button