Berita Utama

Kembalikan peranan rakan strategik agensi penguat kuasa NGO Islam

Sekarang seolah tak diperlukan, ada pihak kepanasan kegiatan haram didedahkan?

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 16 Safar 1444H, Selasa – Peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam sangat penting bukan setakat menjadi ejen membantu risikan premis kegiatan haram, bahkan membuat semak dan imbang terhadap gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan ‘musang berbulu ayam’.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masridzi Sat berkata, NGO Islam juga memberikan cadangan penambahbaikan undang-undang serta strategi pelaksanaannya.

“Selain itu ‘team’ rakan strategik di kalangan NGO Islam juga akan bangkit mempertahankan pimpinan dan anggota agensi-agensi penguat kuasa yang jujur dan berintegriti apabila diserang oleh pihak-pihak yang bersubahat melindungi dan memayungi premis maksiat yang besar, kebal dan berpengaruh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berpendapat amat wajar kerajaan mengembalikan peranan NGO Islam sebagai rakan strategik agensi penguat kuasa dalam menangani isu berkenaan.

Ini kerana katanya, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih sehingga kerajaan kini, khidmat NGO Islam seolah-olah tidak diperlukan lagi.

“Mungkin ada pihak-pihak tertentu kepanasan kerana kegiatan haram mereka didedahkan,” dakwanya.

Bagaimanapun, Ustaz Masridzi menegaskan perkara itu tidak mematahkan semangat NGO Islam untuk terus menghulurkan bantuan.

“Insya-Allah kami akan memantau dari jauh dan akan turun padang jika keadaan memerlukan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button