Berita Utama

SUHAKAM syor beri pendidikan kepada pelarian supaya lebih bertanggungjawab

Hak asasi dan kebimbangan imigresen perlu keseimbangan

BANGI, 16 Safar 1444H, Selasa – Meskipun negara tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian, itu tidak bermakna kerajaan tidak boleh berbuat baik terhadap pelarian.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad berkata, keseimbangan perlu dicapai antara kebimbangan Jabatan Imigresen dan isu hak asasi manusia.

“Walaupun kita memahami kedudukan sukar imigresen dan dalam menangani isu-isu ini, saya rasa pokok masalahnya ialah kita tidak mengiktiraf mereka ini sebagai pelarian kerana kita tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian.

“Tetapi saya ingin mengatakan ini walaupun kita tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian, itu tidak bermakna kerajaan tidak boleh berbuat baik.

“Lagipun mereka ini sudah berapa tahun di sini, jadi kita juga bersalah – kita beri mereka kerja tetapi mereka tidak mempunyai pasport atau dokumen,” katanya seperti dilapor portal Malaysiakini.

Sehubungan itu, beliau berpendapat langkah yang perlu dilakukan ialah memutihkan dan menyediakan dokumentasi yang diperlukan.

“Ini adalah beberapa perkara yang berada dalam bidang kuasa dan kewajipan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Rahmat berkata beliau memahami mengapa Jabatan Imigresen mengambil sikap tegas terhadap warga asing.

“Kita mesti menghargai beberapa keprihatinan agensi ini, kita juga dalam keadaan yang waspada.

“Yang telah berada di sini selama bertahun-tahun belum selesai dan kemudian masih ada yang datang,” katanya.

Sambil menyifatkan ‘budaya kemanusiaan’ sebagai sesuatu yang baru kepada negara, beliau berkata, ia juga boleh difahami mengapa masyarakat umum cenderung mempunyai pandangan xenofobia terhadap pelarian dan orang tanpa kerakyatan.

Katanya, masyarakat akan mengambil masa untuk mengubah persepsi negatif dan perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menyediakan akses kepada pendidikan untuk pelarian serta orang tanpa kerakyatan.

“Kita pada dasarnya adalah negara yang cintakan keamanan, tetapi apabila orang datang ke negara kita secara tiba-tiba dan menceroboh privasi kita, kita juga akan berasa tidak selesa.

“Di sinilah kita perlu mencari formula. Apakah cara terbaik untuk mendapat jaminan bahawa mereka akan bekerja, dan itulah sebabnya perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah memberi pendidikan kepada mereka supaya mereka menjadi lebih bertanggungjawab,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button