Wabak taun: Hospital Syria dalam situasi berjaga-jaga
Kementerian Kesihatan gesa penduduk minum air dari sumber diketahui bersih

DAMSYIK, 16 Safar 1444H, Selasa – Hospital di ibu negara Syria dalam keadaan berjaga-jaga selepas lebih dua dozen kes taun dan sekurang-kurangnya tiga kematian dilaporkan di negara yang dilanda perang itu.
Punca utama penularan nampaknya adalah orang ramai meminum air tercemar serta menyiram tumbuh-tumbuhan di beberapa kawasan dengan air yang tidak bersih.
Infrastruktur Syria mengalami kerosakan teruk sejak konflik bermula pada Mac 2011, di mana penduduk di beberapa kawasan tidak mempunyai akses kepada air bersih.
Konflik telah mengorbankan ratusan ribu nyawa dan kehilangan separuh penduduknya yang sebelum perang berjumlah 23 juta.
Kebanyakan mereka tinggal di penempatan khemah di seluruh negara.
Pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Damsyik tidak mempunyai sebarang komen segera mengenai isu berkenaan.
Agensi berita prorejim, SANA memetik ketua Kementerian Kesihatan di Damsyik, Mohammed Samer Shahrour sebagai berkata, kementerian sedang menyelaraskan dengan jabatan di semua wilayah untuk menguji air serta beberapa buah-buahan dan sayur-sayuran.
Katanya, hospital di bahagian yang dikuasai kerajaan mempunyai ubat-ubatan untuk menangani kes taun.
Di kawasan yang dikawal oleh pejuang disokong Amerika Syarikat (AS) di timur laut Syria, Ketua Jabatan Kesihatan di wilayah itu, Jwan Mustafa melaporkan, tiga kematian dan beberapa kes lain berlaku pada hujung minggu.
Mustafa berkata, kebanyakan kes di kawasan bawah kawalan Pentadbiran Autonomi Syria Utara dan Timur adalah di wilayah timur Deir Exxor.
Katanya, ada yang telah dibenarkan keluar dari hospital.
Di bandar utara Aleppo, pusat komersil terbesar di Syria, Kementerian Kesihatan melaporkan 15 kes termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang mengalami cirit-birit dan muntah sebelum mendapatkan rawatan dan dibenarkan keluar.
Kementerian berkata, taun juga ditemui di sebuah kilang yang membuat ais batu dan ditutup serta-merta.
Kementerian Kesihatan menggesa penduduk supaya memastikan mereka meminum air daripada sumber yang diketahui bersih serta mencuci buah-buahan dan sayur-sayuran dengan sebaik-baiknya. – Agensi