Berita Utama

Hari Malaysia: Pemilihan Melaka imbau peristiwa bersejarah negara

Jadi lokasi Tunku Abdul Rahmad umum Tanah Melayu capai kemerdekaan

MELAKA, 16 Safar 1444H, Selasa – Pemilihan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia 2022, bertujuan mengimbau kembali peristiwa bersejarah negara.

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata ia berikutan tapak berkenaan menjadi lokasi Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahmad Putra Al-Haj, mengumumkan Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan dengan rasminya pada tarikh 31 Ogos 1957.

“Detik ini kemudiannya menjadi titik permulaan kepada penubuhan Malaysia pada 16 Sept 1963,” katanya kepada Bernama di sini.

Ngwe berkata peristiwa bersejarah berkenaan akan diimbas kembali menerusi Segmen 2: Jejak Merdeka di bawah Persembahan Khas “Dari Robohan Kota Melaka, Kita Dirikan Negara Merdeka”.

“Segmen berkenaan mengambil suasana ketika pengisytiharan kemerdekaan dan diorama perarakan masuk Tunku Abdul Rahman bersama kereta antik dan rombongan, dengan watak Tunku Abdul Rahman akan dilakonkan semula oleh Che’Kem dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya itu berkata justeru, sambutan yang turut bertemakan busana sekitar tahun 50an dan 60an itu, amat tepat dalam menggambarkan keadaan negara yang baharu mencapai kemerdekaan, yang berlatar belakangkan lokasi sebenar peristiwa bersejarah itu.

Beliau berkata jika dilihat dari sudut sejarah pula, Melaka banyak meninggal pelbagai kesan warisan sosiopolitik dalam sistem pemerintahan negara sehingga hari ini.

“Sejarah juga mencatatkan Melaka menjadi persinggahan kepada pedagang dari seluruh dunia, malah pada 2008, Melaka diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Bandar Warisan Dunia (World Heritage).

“Pengiktirafan badan dunia ini sekali gus menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang unik dan istimewa,” katanya.

Beliau berkata sambutan Hari Malaysia 2022 di Melaka juga mengangkat kumpulan etnik di negeri berkenaan yang terdiri daripada Baba dan Nyonya, Sikh, Chetti, Portugis malah Orang Asli, sekali gus menunjukkan semangat perpaduan rakyat yang menjadi lambang kepada Keluarga Malaysia.

“Ini dibuktikan menerusi acara Bacaan Ikrar Rukun Negara oleh Tokoh Guru, Abd Rani Embi yang akan diiringi oleh 14 orang Keluarga Malaysia mewakili kepelbagaian kaum dan etnik di Malaysia seperti yang disebutkan tadi, serta membabitkan masyarakat Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Justeru, beliau mengajak orang ramai terutama dari Melaka dan negeri-negeri berdekatan, untuk menghadiri sambutan berkenaan yang julung-julung kali diadakan di Semenanjung. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button